
LADANG SUBANG, 1 Mac 2026 – Inisiatif tuisyen percuma yang digerakkan oleh komuniti Kuil Maha Mariamman sejak tahun 2023 terus membuahkan hasil apabila jumlah pelajar yang menyertainya kini meningkat kepada 45 orang, berbanding hanya 15 pelajar pada tahun pertama pelaksanaannya.

Program pendidikan percuma ini diasaskan hasil kerjasama pihak kuil bersama penaja utama, Encik Ganesan dan keluarganya, yang komited membantu pelajar daripada keluarga kategori B40 di sekitar Ladang Subang.

Pengerusi Kuil Maha Mariamman, En. Murthi, berkata inisiatif itu bermula selepas Encik Ganesan bertemu beliau untuk membincangkan bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Sekarang sudah masuk tahun keempat. Kita ada 45 murid yang mengikuti tuisyen percuma ini. Semua daripada keluarga susah. Kita sangat berterima kasih kepada Encik Ganesan dan keluarga yang menaja sepenuhnya termasuk elaun guru dan kemudahan kelas,” katanya.
Program yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu memberi fokus kepada empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik. Seramai 20 pelajar Tingkatan 4 dan 25 pelajar Tingkatan 5 mengikuti kelas tersebut secara berkala.
Datuk P. Guna Seelan turut memuji usaha berkenaan dan menyifatkan pendidikan percuma sebagai satu pelaburan penting untuk masa depan komuniti.
“Prestasi murid meningkat setiap tahun. Tahun ini dua pelajar berjaya memperoleh keputusan 5A. Ini bukti usaha murni ini membuahkan hasil,” katanya.
Sementara itu, tenaga pengajar program tersebut, Cikgu Arvin menjelaskan bahawa peningkatan jumlah pelajar saban tahun menunjukkan keyakinan ibu bapa terhadap keberkesanan kelas berkenaan.

“Tahun 2023 seorang pelajar dapat 5A. Tahun 2024 juga seorang dapat 5A dan beberapa pelajar memperoleh 3A. Tahun ini kita menunggu keputusan SPM dan jangkaan menunjukkan peningkatan lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, kemudahan kelas turut ditambah baik hasil sumbangan penaja termasuk penyediaan pendingin hawa dan peralatan pembelajaran yang lebih selesa.

Program ini kini menjadi contoh kerjasama erat antara institusi keagamaan, penaja swasta dan komuniti setempat dalam memastikan pelajar kurang berkemampuan tidak tercicir daripada arus pendidikan.
Dengan komitmen berterusan semua pihak, pihak pengurusan kuil berharap jumlah pelajar dapat ditambah pada masa hadapan sekali gus melonjakkan lagi pencapaian akademik komuniti Ladang Subang.

#BeritaAAC #PendidikanPercuma #AnakB40 #LadangSubang #TuisyenPercuma #SPM2026 #KomunitiPrihatin #MalaysiaMadani #InisiatifKomuniti #UbahNasibMelaluiIlmu