
KUALA LUMPUR, 31 Mac 2026 – Pengerusi Malaysia Community Crime Care (MCCC), Tan Sri Musa Hassan, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah berikutan peningkatan kes kematian melibatkan golongan itu sejak kebelakangan ini.
Menurut beliau, trend semasa amat membimbangkan apabila semakin banyak insiden kemalangan maut berlaku akibat perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang memandu selepas minum minuman keras atau menghisap dadah.
Katanya, tindakan pencegahan perlu diperkukuh termasuk pemeriksaan berterusan oleh pihak berkuasa terhadap pemandu yang disyaki memandu dalam keadaan berbahaya, khususnya mereka yang pulang dari kelab malam atau disyaki berada di bawah pengaruh bahan terlarang.
“Pihak berkuasa perlu membuat tindakan yang tegas terhadap perkara ini dan sentiasa memeriksa mereka ini apabila mereka memandu. Supaya mereka ini tidak membahayakan nyawa orang lain,” katanya.
Mengulas dakwaan segelintir pihak bahawa ada pemandu mabuk yang seolah-olah “terlepas” daripada tindakan, Musa menjelaskan perkara sedemikian bergantung kepada hasil siasatan polis dan proses perundangan yang sedang berjalan.
Beliau bagaimanapun berpandangan bahawa pihak polis wajar memaklumkan kepada masyarakat status siasatan, pertuduhan yang dikenakan serta hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah supaya orang ramai mendapat gambaran jelas bahawa tindakan undang-undang tetap diambil.
Menurutnya, pendedahan maklumat sedemikian penting agar ia menjadi pengajaran kepada pemandu lain dan memberi kesedaran bahawa kesalahan memandu secara melulu di bawah pengaruh alkohol atau dadah bukan isu kecil.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas laporan mengenai pemandu mabuk yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Musa menjelaskan bahawa kes seperti itu memerlukan siasatan mendalam kerana terdapat perbezaan antara pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pengangkutan Jalan.
Katanya, bagi pertuduhan membunuh, pihak pendakwaan perlu membuktikan unsur niat untuk membunuh, dan perkara itu bukan mudah kerana ia bergantung kepada hasil siasatan lanjut pihak polis.
“Kalau kes membunuh, kena buktikan niat bahawa dia ingin membunuh orang itu. Jadi ini perlu siasatan lebih lanjut oleh pihak polis untuk mendapatkan sama ada benar-benar wujud niat tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan, apa yang paling utama ketika ini ialah memastikan setiap kes melibatkan pemanduan mabuk atau dadah disiasat secara teliti dan dikenakan tindakan sewajarnya supaya keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara.
#PemanduMabuk #KeselamatanJalanRaya #MusaHassan #JenayahJalanan #BeritaAAC