KUALA LUMPUR, 7 Jan – Pemuda UMNO tampil lantang menuntut satu penilaian jujur dan berani terhadap kedudukan serta keberkesanan UMNO dalam Kerajaan Madani selepas lebih separuh penggal Parlimen ke-15 berlalu, dengan menegaskan bahawa fasa “beri peluang” telah tamat dan kini adalah masa untuk audit politik.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Aizat Azam, EXCO Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok, pendirian jelas Presiden UMNO mengenai hala tuju parti dalam Kerajaan Madani wajar dihormati, namun Pemuda memikul tanggungjawab lebih besar untuk menyuarakan realiti sebenar sentimen di peringkat akar umbi.
“Separuh penggal bukan lagi tempoh beri peluang. Separuh penggal ialah masa untuk audit politik – audit kuasa, audit pengaruh dan audit kepercayaan orang Melayu,” tegas beliau.
UMNO: Ada Jawatan, Tetapi Di Mana Kuasa?
Walaupun UMNO memiliki kedudukan penting dalam kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri, Pemuda UMNO mempersoalkan sejauh mana parti itu benar-benar memimpin agenda kerajaan atau sekadar menjadi pelengkap kepada rakan gabungan.
Di peringkat akar umbi, UMNO dilihat semakin terpinggir daripada mengawal naratif dan sering terpaksa mempertahankan keputusan gabungan yang bercanggah dengan sentimen Melayu. Lebih membimbangkan, wujud dakwaan pemusatan kuasa di peringkat Pejabat Perdana Menteri sehingga melibatkan urusan lantikan GLC, termasuk kementerian yang diterajui UMNO.
Isu kemasukan bekas pemimpin tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, ke dalam PKR turut disifatkan sebagai satu tamparan besar terhadap maruah UMNO apabila bantahan parti tidak menghasilkan sebarang tindakan, sekali gus memberi isyarat bahawa pendirian UMNO semakin kehilangan leverage dalam gabungan kerajaan.
“Dalam politik, jawatan tanpa pengaruh bukanlah kuasa,” kata Aizat Azam.
Isu UMDAP: Persepsi Yang Terus Menghantui
Pemuda UMNO turut mengakui bahawa label UMDAP bukan sekadar propaganda, tetapi realiti persepsi yang hidup dalam kalangan orang Melayu. UMNO dilihat lebih banyak mengalah berbanding memimpin, khususnya dalam isu agama, Melayu dan institusi negara.
Sebagai contoh, isu Jalur Gemilang dikibarkan terbalik menyaksikan Pemuda UMNO bangkit mempertahankan simbol negara, namun akhirnya Ketua Pemuda UMNO Malaysia pula berdepan pertuduhan di mahkamah, manakala pihak lain mempertahankan pelaku atas alasan tidak disengajakan.
“Mesej kepada akar umbi jelas – UMNO yang bangkit, UMNO juga yang menanggung akibat,” katanya.
Sokongan Melayu Masih Tidak Pulih
Pemuda UMNO turut mempersoalkan justifikasi utama penyertaan UMNO dalam Kerajaan Madani, iaitu untuk memulihkan sokongan Melayu.
Realitinya, sokongan itu didakwa masih belum kembali, malah sebahagian penyokong tradisi semakin keliru dengan arah perjuangan parti.
Jika berada dalam kerajaan gagal mengembalikan kepercayaan orang Melayu, Pemuda UMNO memberi amaran bahawa kos politik yang ditanggung adalah terlalu mahal.
Kekal atau Keluar: Soal Maruah dan Kelangsungan
Menurut Aizat Azam, perbahasan sama ada UMNO perlu kekal atau keluar daripada Kerajaan Madani bukan soal melawan Presiden atau menjatuhkan kerajaan, sebaliknya melibatkan strategi kelangsungan parti dan maruah politik UMNO.
“Yang paling berbahaya ialah kekal dalam kerajaan tetapi hilang identiti, hilang suara dan hilang kepercayaan orang Melayu,” tegasnya.
Pemuda UMNO menegaskan bahawa keberanian membuat keputusan kini lebih penting daripada keselesaan menangguhkan keputusan, sambil menegaskan bahawa suara akar umbi tidak boleh terus dinafikan.
#AuditPolitik #UMNODalamKerajaan #SuaraPemudaUMNO #KosPolitikUMNO #UMDAP #MaruahUMNO #SeparuhPenggal #OrangMelayuBersuara #KerajaanMadani #BeritaAAC