
KUALA LUMPUR, 3 April 2026 – Cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad terus mengundang perhatian apabila Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman, menyuarakan kebimbangan terhadap implikasi urus niaga itu ke atas kepentingan rakyat dan aset strategik negara.
Menurut beliau, isu berkenaan tidak boleh dilihat sebagai transaksi korporat biasa semata-mata, sebaliknya perlu dinilai dari sudut amanah institusi besar negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji.
Katanya, institusi-institusi tersebut bukan pelabur biasa kerana mereka mengurus simpanan persaraan rakyat, pencen penjawat awam serta pelaburan Bumiputera, dengan hampir 49 peratus saham IJM berada di tangan mereka secara keseluruhan.
Abdul Razak berkata, penolakan tawaran oleh EPF dan PNB tidak seharusnya dianggap sebagai sentimen atau “noise”, sebaliknya mencerminkan penilaian profesional terhadap nilai sebenar IJM yang didakwa jauh lebih tinggi daripada tawaran RM3.15 sesaham.
“Penasihat bebas seperti M&A Securities meletakkan nilai IJM antara RM5.84 hingga RM6.48 sesaham, manakala Rothschild & Co menilai antara RM4.80 hingga RM5.63 sesaham. Jika dibandingkan dengan tawaran RM3.15, jelas ia terlalu rendah dan dilihat sebagai undervalue terhadap aset negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa GLICs mempunyai tanggungjawab besar untuk mempertahankan nilai aset yang diamanahkan kepada mereka, dan bukan sekadar menerima sesuatu tawaran bagi mempercepatkan urusan korporat.
Menurutnya, IJM bukanlah syarikat biasa kerana memiliki beberapa aset strategik negara termasuk Pelabuhan Kuantan serta lebuh raya utama seperti West Coast Expressway, NPE, LEKAS dan BESRAYA yang menjadi tulang belakang ekonomi serta logistik negara.
“Aset seperti ini bukan mudah diganti. Sekali terlepas, generasi akan datang mungkin tidak berpeluang memilikinya semula,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan bahawa sekiranya pengambilalihan itu diteruskan, pegangan EPF dalam IJM akan menyusut dengan ketara, sekali gus berpotensi menjejaskan dividen tahunan yang memberi pulangan konsisten kepada pencarum KWSP.
Tambahnya, apabila tiga institusi besar iaitu EPF, PNB dan KWAP yang memegang hampir 44 peratus saham menyatakan pendirian tidak bersetuju, maka keputusan itu perlu dihormati sebagai hasil analisis mendalam dan tanggungjawab menjaga wang rakyat.
Abdul Razak berkata, mesej daripada pasaran, pakar bebas dan institusi pemegang amanah rakyat sudah cukup jelas bahawa pengambilalihan tersebut menimbulkan persoalan besar dari segi nilai, masa depan aset strategik serta kepentingan jangka panjang negara.
Beliau pada masa sama berkata, walaupun menghormati sumbangan besar Tan Sri Jeffrey Cheah dalam dunia korporat Malaysia, prinsip dan kepentingan nasional perlu didahulukan dalam isu melibatkan aset penting negara.
“Tidak semua aset wajar berpindah tangan. Ini bukan soal sentimen, tetapi soal nilai, amanah dan kepentingan jangka panjang rakyat serta negara,” tegasnya.
Abdul Razak turut menyuarakan harapan agar IJM kekal menjadi tonggak pembinaan dan infrastruktur negara di bawah pemilikan institusi yang beramanah kepada rakyat.
#IJM #Sunway #AsetNegara #KWSP #BeritaAAC