KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 — UMNO perlu melakukan perubahan pendekatan secara menyeluruh dalam usaha mendekati Generasi Z yang kini muncul sebagai kelompok pengundi paling berpengaruh menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), tanpa menggadaikan prinsip dan asas perjuangan parti.
Menurut Dato’ Is. M. Zhafirin M. Yusof, Exco Pemuda Bukit Bintang merangkap Pengarah Aktiviti Kemasyarakatan Wilayah Persekutuan, Generasi Z hari ini bukan sekadar pelengkap demokrasi, sebaliknya penentu masa depan negara.
“Untuk memenangi hati Generasi Z, UMNO mesti berani mengubah cara, namun prinsip perjuangan tidak boleh dikompromi,” tegas beliau.
Beliau berkata, pendekatan lama yang sarat dengan retorik sudah tidak lagi relevan dengan anak muda masa kini yang lebih mengutamakan kejujuran, rasional dan kejelasan dalam kepimpinan.
Tambahnya, Generasi Z mahu melihat keikhlasan, ketelusan serta keberanian UMNO melakukan pembaharuan yang nyata, bukan sekadar janji politik bermusim.
Dalam masa sama, Dato’ Is. M. Zhafirin menekankan kepentingan UMNO mendengar suara anak muda dan melibatkan mereka secara langsung dalam perbincangan serta pembuatan dasar.
“Anak muda hari ini mahu dihormati, bukan diarahkan. Apabila mereka diberi ruang dan suara mereka didengari, kepercayaan akan terbina,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO perlu memberi fokus kepada isu sebenar yang membelenggu Generasi Z termasuk peluang pekerjaan, kos sara hidup, perumahan, pendidikan, TVET, keusahawanan serta kesihatan mental.
“Generasi Z menilai parti berdasarkan solusi yang ditawarkan, bukan sekadar janji atau slogan,” ujarnya lagi.
Selain itu, beliau menggesa agar kepimpinan muda diberikan peranan sebenar dalam struktur parti dan bukan sekadar dijadikan simbol.
“UMNO perlu melahirkan pemimpin muda yang berintegriti dan berani, serta diberi kuasa untuk memimpin dan membuat keputusan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penguasaan media sosial secara matang dan beretika amat penting bagi memastikan UMNO dilihat sebagai parti yang stabil, relevan dan berpandangan ke hadapan, bukan terperangkap dalam nostalgia sejarah semata-mata.
“Jika UMNO jujur mendengar, berani mengubah pendekatan dan ikhlas membimbing, saya yakin Generasi Z akan melihat UMNO sebagai parti yang relevan dan boleh dipercayai,” katanya mengakhiri kenyataan.
#UMNO #GenerasiZ #PRU16 #PolitikAnakMuda #PemudaUMNO #AnakMudaPenentu #MalaysiaMasaDepan #PolitikRelevan #MediaAAC #SuaraGenerasiZ