
KUALA LUMPUR, 22 Januari 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) hari ini menyerahkan satu memorandum tebal kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung isu mangsa “keldai akaun” yang semakin membimbangkan, melibatkan puluhan rakyat marhaen yang didakwa terperangkap akibat penipuan di media sosial.
Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar, berkata memorandum tersebut diserahkan kepada Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Sheikh Abdul Rashid Abdul Ghaffur, di Bangunan AICB, BNM Link, sekitar jam 3.15 petang, mewakili SBKN bersama kira-kira 40 orang mangsa fasa kedua, selepas fasa pertama melibatkan 36 mangsa sebelum ini.
Menurut beliau, kebanyakan mangsa menjadi “keldai akaun” selepas terpedaya dengan tawaran di Facebook dan pelbagai platform media sosial, sehingga menyerahkan kad ATM atau maklumat peribadi tanpa menyedari implikasi undang-undang.
“Dalam Kanun Prosedur Jenayah memang termaktub, sesiapa yang menyerahkan kad ATM atau kad pengenalan akan dianggap bersalah dan boleh ditahan serta didakwa. Jangan salahkan polis kerana mereka menjalankan tugas mengikut undang-undang,” tegas beliau.
Dato’ Dr Kalaivanar turut menasihatkan masyarakat agar tidak mudah percaya kepada tawaran di media sosial, serta tidak mendedahkan identiti atau maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa BNM Link telah memberi maklum balas positif apabila Timbalan Pengarah BNM Link, Puan Azjun binti Hashim, sendiri turun bertemu mangsa dan memberi penjelasan terperinci mengenai langkah penyelesaian yang boleh diambil.
Antara penyelesaian yang dimaklumkan ialah pembukaan akaun bank terhad atas dasar keprihatinan dan budi bicara bank, tertakluk kepada syor Bank Negara Malaysia serta surat pemutihan daripada Pegawai Penyiasat (IO) kes masing-masing. Akaun terhad ini akan dipantau selama tempoh kira-kira satu tahun dan hanya boleh digunakan bagi tujuan tertentu seperti menerima gaji, bantuan PERKESO, JKM atau KWSP.
“Jika dalam tempoh pemantauan tiada sebarang transaksi mencurigakan, akaun tersebut boleh dibuka sepenuhnya,” jelas beliau.
Pada masa sama, Dato’ Dr Kalaivanar turut menggesa Menteri Komunikasi, Yang Berhormat Fahmi Fadzil, agar mengambil tindakan lebih tegas terhadap penipuan yang berleluasa di internet dan media sosial.
“Isu ini berlaku secara berleluasa kerana kelemahan kawalan. Menteri perlu lebih tegas dan prihatin terhadap penderitaan rakyat yang menjadi mangsa,” katanya.
SBKN merakamkan penghargaan kepada pihak BNM Link yang sanggup meluangkan lebih satu jam mendengar luahan mangsa dan menerima dokumen berkaitan, sambil berharap langkah ini menjadi titik mula kepada penyelesaian lebih menyeluruh demi melindungi rakyat daripada terus menjadi mangsa penipuan digital.
#KeldaiAkaun #SkandalScamMalaysia #MangsaPenipuan #BankNegaraMalaysia #BNMLink #RakyatTeraniaya #ScamMediaSosial #KeadilanUntukMangsa #BeritaAAC #SekretariatBahanaKesetiaanNegara