KUALA LUMPUR — Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan, menyifatkan ucapan Presiden UMNO baru-baru ini sebagai ringkas, bersahaja namun sangat tepat pada sasaran, mencerminkan kepimpinan yang jelas hala tuju serta memahami realiti politik semasa negara.
Menurut beliau, Presiden tidak memilih untuk menyentuh isu ekonomi atau perbandingan dengan negara luar, sebaliknya memberi fokus kepada “rumah agam bangsa” yang menjadi teras perjuangan UMNO dan orang Melayu.
“Ucapan Presiden kali ini simple, straight to the point dan tepat. Dia tak cerita ekonomi, tak cerita negara lain. Dia cerita tentang rumah agam kita — UMNO,” katanya.
Dr Azam menggariskan tiga mesej utama yang jelas daripada ucapan tersebut. Pertama, beliau menegaskan bahawa Presiden berada dalam kawalan penuh, memahami siapa kawan, siapa lawan dan siapa musuh, serta tidak teragak-agak menunjukkan ketegasan.
“Presiden tahu siapa di kiri, siapa di kanan, siapa di luar dan siapa musuh. Jangan cuba-cuba. Ketegasan itu perlu,” katanya.
Kedua, Dr Azam berpandangan Presiden sengaja menggunakan naratif “Rumah Agam Bangsa”, bukannya “Rumah Agam UMNO”, selari dengan landskap politik baharu yang menuntut pendekatan lebih inklusif dan realistik.
Beliau menegaskan era politik nostalgia dan sentimen melampau sudah berakhir, malah menolak politik kebencian dan perbalahan yang hanya membawa kekalahan.
“Sekarang ini dinamik politik baharu. Tak ada siapa boleh menang bersendirian. Politik gaduh, politik sentimen yang melukakan hati — kalau guna, kita kalah.”
Dalam konteks itu, Dr Azam menyifatkan pembukaan “rumah agam” oleh Presiden sebagai peluang terbaik untuk penyatuan semula, termasuk kepada BERSATU dan PAS, dengan syarat kesediaan untuk bermusyawarah secara beretika dan berdisiplin.
“Ini bukan Muafakat Nasional. Ini Musyawarah Nasional. Perjalanan paling baik dan paling ampuh untuk kesatuan orang Melayu.”
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa penyertaan semula mana-mana pihak bukan secara membuta tuli, sebaliknya mesti tertakluk kepada syarat, tata etika dan keikhlasan.
“Masuk bukan sebarang masuk. Jangan hancurkan UMNO, cakap macam-macam, kemudian esok peluk nak jadi calon. Itu tidak boleh.”
Ketiga, Dr Azam menyentuh kepelikan politik semasa, di mana kawan boleh menjadi lawan dan sebaliknya, sambil menegaskan UMNO perlu berpegang pada prinsip, kematangan dan budaya musyawarah, bukan politik mencari gaduh.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan kepimpinan UMNO agar tidak terlalu yakin menjelang PRN Melaka dan PRN Johor, sambil memberi amaran bahawa kesilapan pendekatan politik boleh meruntuhkan “rumah agam” yang sedang dibina.
“Hati-hati PRN Melaka, hati-hati PRN Johor. Jangan terlalu yakin. Politik cari gaduh bukan cara UMNO, bukan cara orang Melayu.”
#RumahAgamBangsa #UMNOBangkit #MusyawarahNasional #PolitikMatang #KesatuanMelayu #AACNews #PolitikSemasa #PRNMelaka #PRNJohor #BeritaPolitik