
KUALA LUMPUR – Peranan media sosial dalam memperkukuh pengaruh politik bukan lagi isu baharu, namun kegagalan memanfaatkannya secara efektif dilihat sebagai antara kelemahan utama jentera penerangan parti, kata Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan.
Beliau berkata, perbincangan mengenai kepentingan media sosial dalam politik telah lama dibahaskan, namun pelaksanaannya masih belum mencapai tahap yang memuaskan, khususnya dalam kalangan jentera penerangan parti.
“Topik ini bukan baharu. Lima tahun lepas kita sudah bincang, hari ini masih bincang perkara sama. Tapi tindakan masih kurang,” katanya ketika mengulas soalan wartawan mengenai pengaruh politik di media sosial.
Menurut beliau, penggunaan media sosial bukan sekadar platform komunikasi, tetapi perlu dimanfaatkan secara strategik untuk menyampaikan naratif parti dan memperkukuh sokongan rakyat.
Dr Azam turut menegur sikap sebahagian jentera penerangan yang dilihat pasif dan tidak memainkan peranan aktif dalam menyebarkan mesej parti.
“Kita tidak boleh jadi kuasa politik utama jika penerangan terus bisu. Bukan sekadar pandai bercakap, tetapi perlu aktif di media sosial,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau memuji Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Nur Shamelya Azizi, yang disifatkan sebagai contoh terbaik dalam memanfaatkan platform digital untuk menyebarkan mesej parti.
“Saya lihat beliau konsisten menyebarkan kandungan dan membantu memperluaskan capaian mesej parti. Itu yang sepatutnya dilakukan oleh semua,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyentuh peranan ‘street media’ atau media akar umbi yang menurutnya banyak membantu menyebarkan naratif parti tanpa sebarang ganjaran.
“Mereka ini bergerak sendiri, guna duit sendiri, tapi sumbangan mereka besar. Ini perlu dihargai,” ujarnya.
Dr Azam juga memuji usaha digital UMNO Johor yang disifatkan lebih ke hadapan, namun mengingatkan agar pendekatan tersebut tidak terlalu ‘rigid’ dan perlu memberi ruang kepada suara akar umbi.
“Akar umbi, ketua cawangan, rakyat biasa – mereka inilah yang orang mahu dengar, bukan hanya pemimpin atasan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan menggerakkan jentera penerangan secara aktif di media sosial boleh memberi kesan kepada kekuatan parti menjelang pilihan raya akan datang.
#UMNO #PolitikMalaysia #MediaSosial #PeneranganUMNO #DrAzamRauzan #StreetMedia #PolitikDigital #SuaraAkarUmbi #PRU16 #BeritaAAC