
KUALA LUMPUR, 16 Mac 2026 – Tindakan mendedahkan dakwaan serius melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki secara terbuka tanpa sebarang laporan rasmi kini mencetuskan persoalan besar dari sudut undang-undang dan kredibiliti.
Peguam, Dato’ Hasnal Rezua Merican berpandangan bahawa pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berhubung dakwaan pemilikan aset bernilai RM14 juta dalam beberapa syarikat perlu disokong dengan tindakan susulan iaitu laporan rasmi kepada pihak berkuasa.
Menurut beliau, sehingga kini tiada sebarang aduan dibuat kepada polis mahupun SPRM, walaupun isu tersebut telah disebarkan secara meluas kepada umum termasuk melalui media sosial.
“Kalau benar ada asas, maka buatlah laporan. Dengan itu, kredibiliti pihak yang mendakwa boleh diuji dan siasatan boleh dijalankan secara formal,” katanya ketika mengulas isu tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendedahan oleh mana-mana pihak termasuk media antarabangsa tidak mencukupi untuk membolehkan tindakan undang-undang diambil tanpa aduan rasmi daripada individu atau pihak yang membawa dakwaan tersebut.
Katanya, situasi ini membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk membuat kenyataan tanpa perlu bertanggungjawab, sekali gus berpotensi mencemarkan integriti agensi penguatkuasaan negara.
“Semua orang boleh bercakap apa sahaja di ruang awam, tetapi tanpa laporan rasmi, tiada siapa yang benar-benar mempertaruhkan kredibiliti mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, di bawah peruntukan undang-undang, sebarang pihak yang membuat laporan berkaitan rasuah juga tertakluk kepada sekatan tertentu termasuk larangan mengulas kes secara terbuka bagi memastikan integriti siasatan tidak terjejas.
Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa ketiadaan laporan rasmi membolehkan pihak tertentu terus memainkan isu tersebut di ruang awam tanpa terikat kepada peruntukan undang-undang.
“Persoalannya, adakah isu ini sengaja dibiarkan berlegar dalam perbincangan umum tanpa niat untuk disiasat secara formal?” katanya.
Dalam masa sama, Hasnal menegaskan bahawa sekiranya benar wujud bukti kukuh, beliau menyokong agar siasatan dijalankan dan tindakan undang-undang diambil mengikut proses yang sewajarnya.
Namun, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang tidak disertakan dengan bukti atau tindakan rasmi.
“Saya harap mana-mana pihak yang membuat dakwaan tampil dengan bukti dan buat laporan. Jika tidak, rakyat perlu berhati-hati dan tidak mudah termakan dengan naratif yang belum terbukti,” ujarnya.
#IsuAzamBaki #RafiziRamli #SPRM #PolitikMalaysia #BeritaAAC #IsuSemasa #Integriti #ViralMalaysia #FaktaAtauFitnah