
KUALA LUMPUR, 21 Januari 2026 — Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) telah bersetuju melantik Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional Negeri Sabah sebagai langkah strategik memperkukuh jentera parti menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) P.187 Parlimen Kinabatangan dan N.58 Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Menurut kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, jawatankuasa tersebut diterajui oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup selaku Pengerusi, manakala Yang Berhormat Datuk Jafry bin Ariffin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi dan Yang Berbahagia Datuk Haji Mohd Hasnol bin Ayub sebagai Setiausaha.
Dalam mesyuarat sama, Dewan Tertinggi BN turut menerima penyertaan semula Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) sebagai parti komponen BN. Penyertaan ini dilihat selari dengan aspirasi BN untuk terus memperkukuh gabungan politik berbilang kaum di bawah satu payung perjuangan yang inklusif, progresif dan stabil demi kepentingan rakyat serta negara.
Barisan Nasional turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Nor atas pelantikan Yang Berhormat Datuk Jafry bin Ariffin sebagai Menteri dan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Anil Sandhu sebagai Pembantu Menteri, selain sokongan beliau terhadap BN dalam PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Menurut Datuk Seri Dr Zambry lagi, BN kini sedang mempertingkatkan gerak kerja serta kesiapsiagaan jentera parti dengan memberi penekanan kepada penyelarasan jentera, perancangan strategi kempen yang berkesan serta komitmen berterusan untuk menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan terlibat.
Langkah-langkah ini mencerminkan kesungguhan BN untuk memastikan pendekatan kempen yang tersusun dan berfokus, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap keupayaan BN sebagai gabungan politik yang stabil dan berwibawa.
#BarisanNasional #BN2026 #PolitikSabah #PRKKinabatangan #PRKLamag #BNKukuh #PolitikMalaysia #SabahBangkit #GabunganBerbilangKaum #BeritaAAC