KUALA LUMPUR, 21 Januari 2026 – Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa merobohkan gerai peniaga berlesen tanpa notis di Medan Aneka Leboh Ampang terus mencetuskan kemarahan apabila sehingga kini, lebih setahun berlalu, masih tiada sebarang jawapan atau penyelesaian diberikan kepada mangsa.

Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) dalam sidang media hari ini mendakwa perobohan yang berlaku pada 2 Januari 2025 dilakukan tanpa notis awal walaupun peniaga terlibat memiliki lesen sah DBKL dan telah menjalankan perniagaan di lokasi tersebut sejak lebih 32 tahun lalu.
Menurut beliau, tiga peniaga wanita warga emas, termasuk seorang ibu tunggal yang mempunyai anak istimewa (ADHD), kehilangan sumber pendapatan apabila gerai mereka dirobohkan ketika mereka diarahkan DBKL untuk bercuti sementara susulan kerja pembaikan sistem kumbahan oleh Indah Water.
“Ini bukan gerai haram. Mereka bayar lesen setiap tahun. Resit ada. Tapi DBKL datang roboh tanpa notis, guna kontraktor warga asing dan barang-barang peniaga hilang,” tegas beliau.
Tambahnya, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas atau tindakan lanjut daripada pihak berkuasa.
Dato’ Dr. Kalaivanar turut mempersoalkan sikap DBKL yang didakwa berdiam diri walaupun memorandum telah diserahkan kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur sebelum ini.
Beliau juga mendakwa berlaku unsur ketidakadilan apabila peniaga tempatan berlesen ditekan, sedangkan warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di sekitar Kuala Lumpur dibiarkan tanpa tindakan.
“Ini soal periuk nasi rakyat. DBKL ada aset berbilion ringgit. Bila roboh kedai orang, ganti rugi mesti diberi. Ini bukan sedekah, ini hak,” katanya.
Sehubungan itu, SBKN memberi tempoh tujuh hari kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, untuk memanggil peniaga terlibat dan menyelesaikan isu sama ada melalui pemberian tapak baharu, pemulangan lesen atau pampasan sewajarnya.
Sekiranya tiada tindakan dalam tempoh tersebut, SBKN tidak menolak kemungkinan untuk membawa perkara ini ke mahkamah.
“Rule of law, not law of jungle. Nobody is above the law,” tegas beliau lagi.
#BeritaAAC #DBKLMestiJawab #KeadilanUntukPeniaga #GeraiBukanHaram #SuaraMarhaen #BelaRakyat #IsuLebohAmpang #RuleOfLaw #AktivisBersuara #MalaysiaPrihatin