KUALA LUMPUR – Kes penipuan melibatkan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM300 juta kini memasuki fasa penting apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak pantas membuka kertas siasatan dan melakukan tangkapan reman terhadap individu terlibat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan MHO, Dato’ Hishamudin Hashim, memaklumkan bahawa kes tersebut melibatkan kira-kira 200 orang mangsa, yang kebanyakannya telah mengalami kerugian besar akibat skim yang didakwa menyalahi undang-undang.
Menurut beliau, pihak MHO dan mangsa telah membuat aduan di beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Sekuriti (SC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia, namun laporan kepada SPRM merupakan aduan keempat yang dibuat.
“Walaupun ini aduan keempat, SPRM dilihat lebih proaktif dan pantas apabila terus membuka kertas siasatan serta membuat tangkapan reman bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Dato’ Hishamudin turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada SPRM atas tindakan segera tersebut, yang disifatkan memberi harapan baharu kepada mangsa-mangsa yang telah lama menuntut keadilan.
Beliau menegaskan, MHO berharap siasatan dapat dijalankan secara telus dan menyeluruh, sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwa raya.
“Kita mahu pihak yang memenuhi elemen-elemen kesalahan ini didakwa mengikut undang-undang sedia ada, sekali gus memberikan keadilan kepada semua mangsa,” katanya.
Kes ini dijangka terus mendapat perhatian awam memandangkan jumlah kerugian yang besar serta dakwaan kegagalan pengawasan awal terhadap skim terbabit.
#KesRM300Juta #SPRM #KeadilanUntukMangsa #PenipuanPelaburan #MHO #SiasatanTelus #SkimPenipuan #BeritaAAC #SuaraMangsa #UndangUndangNegara