KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden UMNO yang menarik balik ucapannya berkaitan DAP semasa Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU2025) disifatkan sebagai sebahagian daripada realiti politik yang bersifat dramatik dan strategik, kata Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan.
Menurut beliau, tindakan Presiden UMNO memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai satu kelemahan, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks politik matang dan realistik.
“Politik ini adalah dramatik, macam sinetron. Hari ini berdrama, esok boleh berpelukan. Itu normal dalam politik,” katanya ketika mengulas isu berkenaan.
Dr Azam mengakui secara peribadi beliau berasa terkilan kerana permohonan maaf itu dibuat terlalu cepat, namun tetap menyifatkannya sebagai satu tindakan yang adil dan tidak wajar dipersoalkan.
Mengulas dakwaan kononnya tindakan Presiden UMNO itu menyinggung perasaan akar umbi Melayu, Dr Azam menegaskan persepsi tersebut adalah tidak tepat.
“Kalau orang Melayu masih menyokong UMNO sepenuhnya, kita tidak akan hanya menang 26 kerusi. Hakikatnya, ramai orang Melayu hari ini mengkritik dan menolak UMNO,” ujarnya.
Beliau turut menegur beberapa pemimpin muda parti agar lebih berhati-hati dalam membaca sentimen sebenar akar umbi dan tidak terperangkap dengan persepsi sempit.
Dalam pada itu, Dr Azam menolak kebimbangan berlebihan terhadap hubungan UMNO dengan mana-mana tokoh atau parti politik, termasuk DAP, PKR atau bekas Perdana Menteri, sambil menegaskan bahawa UMNO kekal sebagai ‘king maker’ dalam landskap politik negara walaupun hanya memiliki sejumlah kecil kerusi Parlimen.
“Walaupun enam kerusi, UMNO masih jadi penentu. Itu kerja takdir,” katanya.
Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa landskap politik negara akan terus berubah dan tidak menolak kemungkinan penyusunan semula parti-parti politik pada masa hadapan, termasuk kemungkinan DAP berada di blok pembangkang menjelang PRU16.
Mengakhiri kenyataannya, Dr Azam menegaskan keutamaan UMNO ketika ini adalah memperkukuh parti dari dalam, menjaga asas perjuangan dan kembali memenangi kepercayaan rakyat secara berperingkat.
#BeritaAAC #PAU2025 #UMNO #PolitikMalaysia!#KingMaker #IsuSemasa #PolitikSebenar #AkarUmbi #PRU16