
KUALA LUMPUR, 27 Januari 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara hari ini mengumumkan kejayaan memperoleh perintah interim Mahkamah Majistret Selayang yang menggantung pelaksanaan writ milikan ke atas sebuah hartanah di Bandar Selayang, yang sebelum ini dijadualkan dilaksanakan hari ini.
Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar, dalam satu sidang media berkata perintah interim tersebut diperoleh melalui Tetuan Vijay, Peguamcara & Peguambela, selepas Mahkamah membenarkan permohonan defendan bagi menggantung pelaksanaan writ berkenaan sehingga pelupusan penuh dan muktamad notis permohonan.
Menurut beliau, kes tersebut melibatkan Encik Narayanan a/l Nilakanthan, yang telah mendiami hartanah berkenaan sejak tahun 1996, iaitu hampir 30 tahun, dengan bayaran sewaan yang meningkat secara berperingkat daripada RM600 sehingga RM6,500 sebulan.
“Sepatutnya hari ini beliau dan keluarganya diusir keluar, namun hasil tindakan pantas dan mandat mahkamah, keadilan berjaya ditegakkan buat sementara waktu,” katanya.
Perintah interim itu menggantung pelaksanaan writ milikan yang dikeluarkan berdasarkan kes antara Ng Ha Heng Sdn Bhd selaku pemiutang penghakiman dan Narayanan sebagai penghutang penghakiman, melibatkan hartanah bernombor HSD 92512, PT 12506, Bandar Selayang, Daerah Gombak.
Dato’ Dr Kalaivanar turut mendakwa keputusan penghakiman terdahulu dibuat secara ex-parte, tanpa kehadiran atau pengetahuan Narayanan dan keluarganya, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai keadilan prosedur.
Dalam masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan bahawa tapak berkenaan didakwa akan disewakan kepada warga asing untuk tujuan perniagaan, sekali gus menggesa Jabatan Imigresen dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat isu tersebut.
“Kalau perkara seperti ini dibiarkan, rakyat yang mencari rezeki secara sah akan terus tertindas. Negara ini akan jadi huru-hara jika NGO dan rakyat tidak bersuara,” tegas beliau.
Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara memaklumkan pihaknya akan terus memantau kes ini dan mengambil langkah susulan demi memastikan keadilan sebenar dapat ditegakkan.


#KeadilanUntukRakyat #WritMilikan #Selayang #HakPenyewa #BahanaKesetiaanNegara #DatoDrKalaivanar #IsuTanah #RakyatTertindas #SuaraNGO #BeritaAAC