KUALA LUMPUR, 30 Januari 2026 – Tiga mangsa sindiket ahlong tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa menjadi mangsa keganasan fizikal, termasuk dipukul, diculik serta diserbu beramai-ramai hanya kerana gagal melunaskan pinjaman haram yang mengenakan faedah melampau.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Dato’ Hishamuddin Hashim, berkata kes yang dibawa ke pejabat MHO hari ini adalah luar biasa berbanding kes ahlong sebelum ini yang kebiasaannya melibatkan ugutan, baling cat atau pendedahan di media sosial.
“Kes ini unik dan sangat serius kerana ketiga-tiga mangsa dipukul. Ini bukan lagi ugutan biasa, tetapi sudah menjurus kepada jenayah ganas,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut beliau, mangsa pertama memaklumkan pinjaman awal sebanyak RM10,000 meningkat sehingga RM50,000 dalam tempoh tujuh bulan, sebelum dia ditahan dan dipukul oleh tiga individu menggunakan tongkat serta ditampar di muka.
Mangsa kedua pula mendakwa diculik di kawasan Manjalara, apabila empat hingga lima individu ahlong menaiki kenderaannya sebelum membawanya ke lokasi lain dan memukulnya sehingga mengalami lebam teruk di muka.
Lebih mengejutkan, mangsa ketiga mendakwa telah membayar sehingga RM1.5 juta akibat pinjaman berlapis-lapis (overlap), sebelum rumahnya diserbu kira-kira 40 individu yang menuntut bayaran.
“Hanya selepas menonton video MHO, mangsa ini baru sedar bahawa kadar faedah sah yang dibenarkan undang-undang hanyalah 18 peratus setahun,” jelas Hishamuddin.
Sehubungan itu, MHO menggesa pihak polis agar membuka semula kertas siasatan termasuk kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai NFA, dengan menyiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, seperti yang dilakukan oleh Ketua Polis Kelantan.
Beliau turut menegaskan bahawa kes melibatkan ugutan, kekasaran dan kecederaan perlu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, manakala kes pukul dan mencederakan di bawah Seksyen 323 atau 324, dan sekiranya melibatkan sindiket terancang, di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
Dalam masa sama, Hishamuddin menyeru orang ramai supaya berhenti membayar ahlong dan tampil membuat laporan polis agar sindiket ini dapat didakwa serta dikenakan hukuman berat.
“Masuk tahun 2026, kita perlu azam baru. Stop rundingan, stop bayar ahlong. Ambil tindakan undang-undang. Jika seluruh Malaysia konsisten, saya yakin menjelang 2030, ahlong boleh pupus di negara ini,” tegasnya.
#BanterasAhlong #StopBayarAhlong #JenayahTerancang #KeadilanUntukMangsa #MHO #AhlongPukulMangsa #LawanAhlong #KesJenayahBerat #AACMedia #MalaysiaSelamat