KUALA LUMPUR – Isu pendirian rumah anutan haram di atas tanah awam dan tanah persendirian bukan berpunca daripada kelemahan undang-undang, sebaliknya kegagalan pelaksanaan serta campur tangan politik, tegas peguam, Hanif Khatri.
Menurut beliau, pergerakan yang digerakkan oleh aktivis termasuk Zamri Vinoth merupakan satu inisiatif rakyat bagi menyuarakan masalah yang telah berlarutan sejak berdekad lamanya, melibatkan pembinaan struktur rumah anutan tanpa kebenaran di seluruh negara.
“Undang-undang kita lengkap. Masalah sebenar bukan ketiadaan undang-undang, tetapi kegagalan pelaksanaannya. Amanah yang diberikan tidak dilaksanakan mengikut peruntukan sedia ada,” katanya.
Hanif menjelaskan bahawa setiap negara mempunyai undang-undang bagi mengawal isu-isu sensitif masyarakat, namun ia menjadi tidak bermakna apabila penguatkuasaan gagal dilaksanakan atas alasan sensitiviti politik.
Beliau turut menegaskan bahawa rakyat sering tersalah arah dengan menyalahkan undang-undang, sedangkan punca sebenar terletak kepada pelaksana undang-undang yang berada di peringkat pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan serta polis, yang menurutnya sering diganggu oleh campur tangan ahli politik.
“Apabila tindakan mahu diambil, ada ahli politik masuk campur dan mendesak supaya isu ini tidak disentuh atas alasan sensitif. Ini salah. Wakil rakyat sepatutnya mendidik masyarakat supaya patuh undang-undang, bukan melanggarnya,” tegas beliau.
Mengulas isu istilah, Hanif menegaskan bahawa penggunaan frasa ‘rumah anutan haram’ adalah tepat dari sudut bahasa dan undang-undang, serta tidak boleh dikompromi hanya kerana sensitiviti pihak tertentu.
Dalam perkembangan sama, Hanif menggesa Kementerian Perpaduan Negara menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kajian dan bancian menyeluruh terhadap semua rumah anutan di Malaysia, melibatkan kuil, tokong, gereja, gudwara, surau dan masjid.
Beliau mencadangkan supaya rumah anutan dikategorikan kepada dua kumpulan utama iaitu yang wujud atas faktor sejarah dan yang dibina secara baharu tanpa kelulusan, sebelum kerajaan membentangkan Kertas Putih di Parlimen dalam tempoh enam bulan.
“Tindakan undang-undang mesti diambil terhadap penceroboh sebenar, tetapi pada masa sama, rumah anutan bersejarah perlu diurus dan diputihkan mengikut undang-undang, tanpa membengkokkan peraturan,” katanya.
Hanif turut menegaskan bahawa isu ini bukan berkaitan anutan agama, sebaliknya berkaitan struktur dan pematuhan undang-undang tanah, yang mesti dikuatkuasakan tanpa mengira agama atau bangsa demi keharmonian negara.
#BeritaAAC #RumahAnutanHaram #IsuTanah #KedaulatanUndangUndang #PergerakanRakyat #PolitikDanUndangUndang #IsuSensitif #KementerianPerpaduan #MalaysiaMadani #HarmoniNegara