SERI KEMBANGAN, 3 Februari 2026 – Isu projek kondo yang didakwa sebagai “kondo mewah” di kawasan Seri Kembangan, Kajang mencetuskan kebimbangan serius apabila pembeli mendakwa kualiti pembinaan projek berkenaan berada pada tahap membahayakan keselamatan.
Menurut Aktivis dari Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia, Ridzuan Ikhlas, projek yang melibatkan sebahagian daripada 477 unit kediaman di Blok A, yang turut dikaitkan dengan projek Rumah Selangorku, dikenal pasti mempunyai sekitar 29 kecacatan (defect) serius walaupun pemaju mendakwa projek tersebut telah siap dan sedia untuk penyerahan kunci.

“Pembeli terkejut apabila menerima kunci. Ini bukan rupa kondo mewah. Defect terlalu tinggi dan kualitinya sangat teruk,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Ridzuan mendakwa beliau sendiri telah meninjau tapak projek dan mendapati keadaan bangunan amat membimbangkan termasuk siling retak, dinding merekah, kemasan reput serta ruang dapur yang tidak menepati spesifikasi jualan asal.
Tambahnya, keadaan itu menyebabkan sebahagian pembeli hilang kepercayaan terhadap pemaju sehingga ada yang sedang mempertimbangkan untuk membatalkan pinjaman perumahan dengan pihak bank.

“Pemaju kata rumah belum siap, tapi pada masa sama pembeli dipanggil untuk ambil kunci. Mana satu yang betul? Jangan kelentong dan jangan scam rakyat,” tegasnya.
Beliau turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) agar memberi perhatian serius terhadap isu ini kerana kegagalan menangani masalah berkenaan boleh menjejaskan imej kerajaan pusat dan negeri.
Ridzuan juga memberi amaran keras kepada pemaju supaya tidak mengugut pembeli dengan tindakan saman apabila pembeli bersuara mempertahankan hak mereka.
Pihak Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia TIDAK pernah memaksa mana-mana pembeli yang tidak terlibat dalam isu ini dan hanya akan membantu sebahagian yang terjejas yang memerlukan khidmat sahaja. Jika, sekiranya terdapat ada unsur-unsur penipuan, Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia TIDAK akan teragak-agak akan membantu pembeli yang terlibat.
Pembeli yang terlibat dinasihatkan untuk berhubung terlebih dahulu dengan pihak Gabungan Ikhlas Malaysia bagi menyelaraskan laporan agar tindakan undang-undang dapat diambil secara tersusun dan berkesan.
“Waktu jual, janji macam-macam. Siap janji pokok durian boleh tampung yuran penyelenggaraan. Bila nak ambil kunci, pokok kecil, buah pun tak ada,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya isu ini gagal diselesaikan segera, pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa kes ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Bukit Aman, memandangkan ia melibatkan keselamatan lebih 1,000 penghuni sekiranya projek itu diduduki kelak.
“Ini melibatkan nyawa. Kita ada bukti bergambar, bukan cakap kosong. Kalau belum duduk pun dah rosak, apa akan jadi bila dah diduduki?” katanya.
Beliau menggesa semua pembeli yang terlibat supaya mengumpulkan nama dan bukti, bagi membolehkan perkara itu dibawa terus ke pejabat Perdana Menteri untuk tindakan lanjut.
#KondoMewah #DefectTeruk #PemajuScam #RumahSelangorku #BelaRakyat #HakPembeli #IsuPerumahan #PMXPrihatin #BeritaAAC #SuaraRakyat