KUALA LUMPUR, 4 Februari 2026 — Isu penipuan melibatkan pembelian kondominium mewah di Residensi Bukit Tiara, Seri Kembangan Kajang didakwa semakin serius apabila ratusan pembeli tampil membuat aduan terhadap sebuah pemaju yang disifatkan menggunakan skim jenayah terancang untuk mengaut keuntungan.
Perkara itu didedahkan oleh Dato’ Mohd Ridzuan Ikhlas, Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia, yang memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima bukti kukuh berbentuk perbualan WhatsApp dan dokumen berkaitan melibatkan janji pulangan wang (cashback) sehingga 10 peratus kepada pembeli yang mengambil pinjaman penuh (full loan).
Menurut beliau, pembeli dijanjikan pulangan kira-kira RM40,000 bagi sebuah unit kondominium berharga sekitar RM416,000 sebaik sahaja pinjaman diluluskan. Namun, janji tersebut didakwa dimungkiri apabila pemaju kemudiannya mendakwa wang tersebut telah dijadikan sebagai bayaran pendahuluan (down payment) tanpa persetujuan pembeli.
“Ini jelas satu bentuk penipuan. Kita boleh anggap pemaju ini sebagai penjenayah kerana memperdaya pembeli dengan janji palsu,” tegasnya.
Dato’ Mohd Ridzuan turut mendakwa isu ini bukan terpencil, sebaliknya berlaku secara meluas di beberapa lokasi lain, termasuk manipulasi yuran penyelenggaraan (maintenance fees) yang tinggi dan kegagalan menyerahkan pengurusan kepada penduduk walaupun projek telah berpuluh tahun siap.
Beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan unsur penipuan, salah guna kuasa dan kemungkinan wujudnya perlindungan oleh pihak tertentu.
“Jika pemaju ini berselindung di bawah wakil rakyat atau agensi kerajaan, saya tidak teragak-agak membawa perkara ini terus kepada SPRM,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam membanteras rasuah dan menegaskan isu ini turut perlu diberi perhatian serius di peringkat tertinggi kerajaan.
Setakat ini, sebahagian daripada 477 pembeli telah dikenal pasti terjejas, dan satu laporan polis besar-besaran secara serentak akan dibuat dalam masa terdekat.
Pihak Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia TIDAK pernah memaksa mana-mana pembeli yang tidak terlibat dalam isu ini dan hanya akan membantu sebahagian yang terjejas yang memerlukan khidmat sahaja. Jika, sekiranya terdapat ada unsur-unsur penipuan, Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia TIDAK akan teragak-agak akan membantu sebahagian pembeli yang terlibat.
Pembeli dinasihatkan untuk berhubung terlebih dahulu dengan pihak Gabungan Ikhlas Malaysia bagi menyelaraskan laporan agar tindakan undang-undang dapat diambil secara tersusun dan berkesan.
Ridzuan Ikhlas juga amat bersimpati dengan pembeli yang lain dan sedia membantu jika sekiranya khidmat diperlukan.
Mengulas nasihat kepada bakal pembeli rumah, Dato’ Mohd Ridzuan menegaskan agar orang ramai berhati-hati dengan tawaran full loan dan janji pulangan tunai, serta memastikan setiap janji dibuat secara bertulis dengan surat rasmi berletterhead pemaju.
“Jangan percaya cakap mulut. WhatsApp boleh jadi bukti, tetapi dokumen bertulis jauh lebih kukuh di mahkamah,” katanya.
Beliau turut menggesa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar tidak menganggap isu ini sebagai kes terpencil dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya demi melindungi hak pembeli rumah di negara ini.
#ScamPemaju #IsuKondo #PembeliTeraniaya #FullLoanPerangkap #BeritaAAC #HakPembeli #SiasatPemaju #BuktiWhatsApp #BukitAman #SPRM