KUALA LUMPUR, 4 Februari 2026 — Aktivis, Dato’ Sri Salim Abdul Rahman, tampil mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) susulan dakwaan pembangkang kononnya kerajaan gagal menjawab isu melibatkan 5,207 hektar tanah di Nunukan yang didakwa diserahkan kepada Indonesia.
Menurut beliau, dakwaan tersebut hanyalah cubaan pembangkang untuk mencipta naratif sensasi tanpa berasaskan fakta, semata-mata bagi mengelirukan rakyat.
“Biasalah pembangkang, mereka akan cari satu benda yang ‘seksi’ untuk rakyat percaya. Tapi saya yakin rakyat Malaysia tidak bodoh lagi,” katanya ketika mengulas situasi di Parlimen.
Dato’ Sri Salim menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak akan bertindak secara semberono, sebaliknya akan membuat kajian menyeluruh termasuk meneliti fakta, dokumen serta status pemilikan sebenar tanah terbabit sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau turut menyifatkan sesi perbahasan di Parlimen itu sebagai tidak matang dan memalukan.
“Apa yang saya nampak tadi seolah-olah badut lawan dengan Perdana Menteri. Kelakar, sebab mereka tidak pernah cari fakta,” katanya.
Mengulas kritikan keras pembangkang yang sering mengaitkan isu agama dan doa, beliau menyatakan bahawa kepimpinan Anwar Ibrahim jelas mendapat keberkatan Allah berdasarkan perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia.
“Kalau Anwar ini iblis atau syaitan seperti dituduh, Allah tidak akan izinkan Islam berkembang seperti hari ini. Kita lihat wanita bertudung semakin ramai, pendidikan Islam berkembang — itu semua hasil perjuangan beliau sejak dulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Salim turut menyuarakan keyakinannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim berpotensi besar untuk memimpin negara bagi satu penggal lagi, berdasarkan prestasi ekonomi semasa berbanding era terdahulu.
“Saya boleh katakan 99 peratus, insya-Allah, Datuk Seri Anwar akan dapat satu penggal lagi. Kita boleh lihat perbezaan ekonomi dulu dan sekarang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat bahawa kekayaan dan harta dunia hanyalah sementara, manakala kepimpinan yang baik adalah yang membawa rakyat keluar daripada kemiskinan serta mendekatkan diri kepada Allah.
#BeritaAAC #IsuNunukan #PMX #AnwarIbrahim #ParlimenMalaysia #PolitikSemasa #FaktaBukanFitnah #MalaysiaMadani #IsuPanas #AACEksklusif