SEREMBAN, 5 Februari 2026 — Isu tular melibatkan sebuah restoran di Negeri Sembilan yang didakwa mengitar semula sisa makanan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, namun dakwaan tersebut disifatkan sebagai beragenda dan berniat menjatuhkan imej perniagaan orang Islam, kata Dato’ Mohd Ridzuan Ikhlas.
Menurut beliau yang juga Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia, siasatan awal mendapati individu yang menularkan video tersebut bukan pelanggan restoran berkenaan, sebaliknya dipercayai mempunyai sasaran tertentu untuk mencemarkan reputasi premis tersebut.
“Perkara ini menjadi sangat viral di media sosial, namun kami dimaklumkan bahawa ia dilakukan oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri. Ini jelas merosakkan periuk nasi pengusaha restoran Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan bahawa pihak pengusaha restoran telah membuat laporan polis, dan kes berkenaan juga akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tindakan lanjut terhadap pihak yang menularkan kandungan tersebut tanpa bukti kukuh.
Dato’ Mohd Ridzuan turut mengkritik budaya netizen yang gemar menyebarkan rakaman dan tuduhan tanpa melalui saluran aduan rasmi, sekali gus menyebabkan kerosakan besar kepada perniagaan yang terlibat.
“Kalau ada isu atau aduan, sepatutnya salurkan kepada agensi berkaitan, bukan sesuka hati viralkan sehingga menjejaskan sumber pendapatan orang lain,” tegasnya.
Beliau juga menyentuh isu ketidakseimbangan reaksi masyarakat, apabila perniagaan orang Islam sering menjadi mangsa kecaman besar-besaran di media sosial, sedangkan isu melibatkan restoran lain tidak mendapat perhatian sama.
Sehubungan itu, beliau menggesa polis dan MCMC menjalankan siasatan secara serentak dan menyeluruh, termasuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menularkan video berkenaan.
“Isu ini serius. Pihak yang menularkan video perlu dipanggil dan disiasat. Kita mahu keadilan kepada pengusaha restoran ini dan hentikan budaya fitnah di media sosial,” katanya.
Dato’ Mohd Ridzuan menegaskan beliau akan terus memantau dan mengikuti perkembangan kes ini sehingga tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa.
#BeritaAAC #IsuViral #FitnahMediaSosial #RestoranIslam #KeadilanUntukPeniaga #NetizenBertanggungjawab #SiasatanPolis #MCMC #ViralTanpaBukti #Seremban