‘Ini Fitnah & Salah Faham’
SEREMBAN, 5 Februari 2026 – Restoran terkenal RB Bistro Nasi Kandar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan premis berkenaan dengan amalan membasuh lebihan makanan untuk digunakan semula kepada pelanggan.
Menurut kenyataan rasmi pihak RB Bistro, rakaman video yang tular itu telah disalah tafsir dan tidak menggambarkan situasi sebenar. Tindakan membasuh lebihan makanan yang dirakam bukan bertujuan untuk dikitar semula atau dihidangkan semula kepada pelanggan, sebaliknya dilakukan semata-mata bagi tujuan pelupusan lebih bersih dan terkawal serta kegunaan bukan manusia, termasuk makanan haiwan.
Pemilik RB Bistro Nasi Kandar, Datuk Hj Fadzil A Bakar, menjelaskan bahawa insiden tersebut berpunca daripada salah faham, selain kesilapan prosedur apabila proses pelupusan dilakukan di kawasan terbuka sehingga menimbulkan persepsi negatif orang awam.
“Barang-barang yang dirakam itu adalah sisa makanan atau waste yang memang tidak boleh dimakan lagi. Ia dibersihkan semata-mata untuk tujuan pelupusan dan diberikan kepada kegunaan lain seperti makanan haiwan. Mustahil untuk kita masak semula untuk pelanggan,” tegas beliau.
Tambah beliau, kesilapan sebenar pihak restoran adalah menjalankan proses tersebut di kawasan luar yang boleh dilihat pelanggan, sedangkan amalan sepatutnya dilakukan di ruang tertutup.
“Bila orang nampak, sebagai pelanggan mereka berhak bertanya. Tapi malangnya rakaman itu terus diviralkan tanpa rujukan kepada pihak pengurusan, hingga menjejaskan reputasi perniagaan kami,” katanya.
Susulan penularan video berkenaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah hadir menjalankan pemeriksaan dan mengambil sampel di premis RB Bistro. Pihak restoran mengesahkan mereka memberi kerjasama penuh dan akur dengan tindakan pihak berkuasa.
“Kalau saya pegawai kerajaan pun, bila sesuatu isu jadi viral, memang patut diambil tindakan. Kita terima apa sahaja keputusan KKM,” ujar Datuk Fadzil.
RB Bistro turut mengesahkan laporan polis telah dibuat bagi merekodkan kejadian tersebut, selain menegaskan video yang disebarkan telah menjejaskan nama baik serta kepercayaan pelanggan terhadap restoran yang telah beroperasi sejak tahun 2016, manakala jenama Rahman Brothers pula bermula seawal 1956.
Sebagai langkah penambahbaikan segera, pihak RB Bistro telah melaksanakan beberapa tindakan termasuk:
- Pelupusan lebihan makanan hanya dilakukan di ruang tertutup
- Semua lebihan makanan disimpan dalam bekas bertutup
- Rekod pelupusan makanan direkodkan dalam log rasmi
RB Bistro menegaskan keselamatan, kebersihan dan kualiti makanan sentiasa menjadi keutamaan, serta kekal terbuka untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan kepercayaan pelanggan terus terpelihara.
#RBbistro #IsuViral #FaktaBukanFitnah #KeselamatanMakanan #KKMMalaysia #SalahFaham #PortalAAC #BeritaSemasa #ViralMediaSosial #HakPeniaga