KUALA LUMPUR, 7 Februari 2026 – Aktivis dan penganalisis politik, Prof Dr Riduan Tee, menyifatkan tindakan penahanan terhadap beberapa peserta perhimpunan sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Menurut beliau, ketika tiba di lokasi sekitar jam 8.20 pagi, beliau menyaksikan beberapa individu telah ditahan oleh pihak berkuasa walaupun perhimpunan tersebut diadakan secara aman dan tidak menimbulkan sebarang kekacauan.
“Pada saya, kebebasan berhimpun ini dijamin oleh perlembagaan. Kita berhimpun dengan niat yang baik, untuk berkata benar — yang salah itu salah, yang benar itu benar,” katanya kepada media.
Prof Dr Riduan Tee turut melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan beberapa pemimpin tertinggi negara yang didakwa mengugut peserta perhimpunan dengan hukuman penjara. Menurut beliau, kenyataan sedemikian tidak sepatutnya keluar daripada seorang pemimpin yang menggelarkan diri sebagai negarawan.
“Perhimpunan sebegini sepatutnya diraikan, bukan diugut atau dihalang. Ia tidak menimbulkan ancaman keselamatan,” katanya lagi.
Mengulas insiden penahanan, beliau mendakwa terdapat elemen kekerasan digunakan oleh pihak berkuasa, sesuatu yang menurutnya tidak wajar berlaku terhadap rakyat yang hanya ingin menyuarakan pandangan secara aman.
Dalam masa sama, Prof Dr Riduan Tee menegaskan bahawa isu yang dibangkitkan, termasuk berkaitan rumah ibadat yang didakwa tidak mempunyai status sah, adalah berlandaskan fakta sejarah dan perundangan, bukannya sentimen atau hasutan.
Beliau menjelaskan bahawa dari sudut sejarah, pembinaan rumah ibadat oleh imigran ketika zaman penjajahan British bersifat sementara, selari dengan status mereka pada ketika itu.
Namun, menurutnya, selepas kemerdekaan, terdapat pembinaan rumah ibadat di atas tanah yang bukan milik sendiri termasuk di kawasan rizab dan tanah awam tanpa tindakan tegas pihak berkuasa.
“Sepatutnya penguat kuasa, PBT, Majlis Perbandaran dan pemimpin negara mengambil tindakan lebih awal. Bila mereka gagal, rakyat akhirnya bersuara — dan bila rakyat bersuara, mereka pula dikatakan salah,” ujarnya.
Beliau memberi amaran bahawa kegagalan pihak berkuasa dan kepimpinan politik menangani isu secara tegas hanya akan mendorong lebih ramai rakyat turun ke jalanan bagi menyatakan pendirian.
“Kalau rakyat terus dihalang, saya yakin semakin ramai akan datang dan berhimpun untuk menyatakan pandangan mereka,” katanya.
Prof Dr Riduan Tee turut menyifatkan situasi semasa sebagai cerminan kepada prinsip “matlamat menghalalkan cara” seperti yang dihuraikan oleh Machiavelli, sesuatu yang menurutnya tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara demokrasi.
#BeritaAAC #KebebasanBersuara #HakBerhimpun #DemokrasiMalaysia #RakyatBersuara #Perlembagaan #IsuRumahIbadat #SuaraRakyat #TindakanPolis #MalaysiaBangkit