KUALA LUMPUR, 8 Feb 2026 – Polis didakwa bertindak menahan beberapa individu walaupun kebenaran untuk berucap telah diberikan, sedangkan himpunan masih belum bermula.
Perkara itu didedahkan oleh aktivis pendidikan, Cikgu Hishamudin, yang hadir menyatakan solidariti di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, susulan penahanan dua individu iaitu Zamri Vinoth dan Tamim Dahari bagi membantu siasatan berkaitan Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram di hadapan Kompleks SOGO, semalam.
Menurut beliau, kedua-dua individu berkenaan dilaporkan berkemungkinan akan dibebaskan pada petang esok, namun waktu sebenar masih belum dapat dipastikan.
Dalam operasi semalam, seramai kira-kira 20 individu telah ditahan, termasuk seorang kanak-kanak, namun kesemua mereka telah dibebaskan. Cikgu Hishammudin turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam yang mendoakan keselamatan serta kesejahteraan semua individu yang terlibat.
Beliau menyatakan rasa dukacita dan kecewa terhadap tindakan penahanan tersebut, sambil menegaskan bahawa kehadiran mereka adalah atas semangat memperjuangkan kedaulatan undang-undang serta hak berhimpun secara aman.
Katanya, tindakan itu amat mengecewakan memandangkan perjuangan yang dibawa selari dengan semangat reformasi dan prinsip kebebasan bersuara yang pernah ditekankan oleh tokoh reformasi negara suatu ketika dahulu.
Menurut beliau lagi, pihak penganjur telah mengadakan perbincangan awal dengan pihak polis dan diberikan tempoh setengah jam untuk berucap tanpa sebarang unsur provokasi.
“Namun keadaan berubah apabila beberapa peserta mula ditahan walaupun himpunan masih belum bermula, menyebabkan saya sendiri tampil mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa di lokasi,” katanya.
#BeritaAAC #DangWangi #HimpunanAman #HakBerhimpun #Solidariti #KedaulatanUndangUndang #IsuSOGO #SuaraRakyat #BreakingAAC #MalaysiaMemerhati