KUALA LUMPUR, 8 Feb 2026 — Tindakan polis menahan peserta himpunan sebelum sebarang acara bermula disifatkan sebagai gopoh dan berlebihan oleh Pengerusi NGO UMMAH, Cikgu Zai, yang mendakwa wujud tekanan politik dalam penguatkuasaan undang-undang.
Beliau hadir di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi malam tadi bagi menyatakan solidariti terhadap Zamri Vinoth dan Tamim Dahari yang masih ditahan dan dijangka didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
Menurut Cikgu Zai, penahanan yang dilakukan menimbulkan persoalan serius kerana perbincangan awal telah diadakan antara penganjur dan pihak berkuasa, termasuk jaminan bahawa perhimpunan tersebut akan dipermudah selagi mematuhi syarat yang ditetapkan.
“Namun apa yang berlaku amat mengejutkan apabila tangkapan dibuat sebelum perhimpunan bermula. Ini bukan sahaja bercanggah dengan semangat rundingan, malah mencetuskan persepsi tindakan melampau,” katanya.
Perhimpunan tersebut dianjurkan bagi memberi peringatan kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pembinaan bangunan yang didakwa tidak mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada.
Cikgu Zai turut menegaskan bahawa kegagalan penguatkuasaan yang konsisten boleh membuka ruang kepada pelanggaran berterusan serta menimbulkan persepsi wujudnya layanan tidak sama rata dalam pelaksanaan undang-undang.
“Apabila undang-undang dilihat dikuatkuasakan secara terpilih, kepercayaan rakyat terhadap institusi akan terhakis,” ujarnya.
Beliau menggesa pihak berkuasa memberi penjelasan terbuka berhubung asas penahanan tersebut bagi mengelakkan spekulasi serta keresahan awam yang semakin memuncak.
#BeritaAAC #DangWangi #Solidariti #KeadilanUntukSemua #HakBerhimpun #UndangUndang #TekananPolitik #Penguatkuasaan #IsuSemasa #SuaraRakyat