
KUALA LUMPUR, 7 April 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar, mempersoalkan pelaksanaan dan penguatkuasaan skim subsidi petrol Budi95, khususnya berkaitan penggunaan aplikasi pembayaran digital seperti Setel dan Touch ‘n Go ketika mengisi minyak bersubsidi.
Menurut beliau, kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung larangan menggunakan kad pengenalan individu lain untuk membeli minyak subsidi di bawah skim berkenaan sememangnya difahami dan tidak boleh dipertikaikan kerana melibatkan soal pelanggaran undang-undang.
Namun begitu, beliau berkata, persoalan lebih besar timbul apabila transaksi pembelian minyak kini juga boleh dilakukan sepenuhnya menerusi aplikasi mudah alih tanpa perlu menunjukkan kad pengenalan di kaunter stesen minyak.
Katanya, ramai pengguna mempunyai akaun aplikasi seperti Setel atau Touch ‘n Go yang didaftarkan atas nama ahli keluarga, tetapi digunakan oleh individu lain, memandangkan telefon bimbit boleh dibawa dan digunakan oleh sesiapa sahaja.
“Kalau transaksi dibuat melalui aplikasi tanpa perlu tunjuk kad pengenalan di kaunter, bagaimana mekanisme kawalannya? Adakah perlu diwujudkan akta atau kaedah baharu untuk menangani situasi ini?” soalnya.
Gulam berkata, perkara itu menunjukkan bahawa sesuatu kenyataan dasar atau penguatkuasaan tidak boleh dibuat secara terburu-buru tanpa memahami ekosistem sebenar di lapangan, terutama dalam era transaksi digital yang semakin meluas.
Beliau turut menyifatkan kenyataan yang dibuat tanpa penelitian menyeluruh boleh mengundang kekeliruan, kemarahan rakyat serta cemuhan di media sosial, lebih-lebih lagi apabila pelaksanaannya dilihat tidak selari dengan realiti semasa.
Menurutnya, pegawai kanan kerajaan, termasuk ketua jabatan dan pihak pengurusan tertinggi kementerian serta agensi, perlu meneliti terlebih dahulu keseluruhan ekosistem sesuatu dasar sebelum mengeluarkan kenyataan kepada umum.
“Selidik, fikir dan hadam dahulu ekosistem sesuatu dasar sebelum membuat kenyataan yang akhirnya menjadi polemik serta menimbulkan kemarahan rakyat. Jangan bertindak sembrono,” katanya.
Kenyataan Gulam itu hadir ketika isu penyasaran subsidi petrol dan mekanisme pelaksanaannya terus menjadi perhatian ramai, khususnya apabila rakyat mempersoalkan sejauh mana sistem sedia ada benar-benar mampu mengelakkan penyalahgunaan dalam urusan pembelian bahan api bersubsidi.
#SubsidiBudi95 #IsuMinyakSubsidi #GulamMuszaffar #RakyatTuntutPenjelasan #AACNews