KAJANG, 15 Februari 2026 – Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia hari ini menerima pelbagai aduan daripada pembeli sebuah kondominium mewah di kawasan Kajang yang didakwa berdepan masalah kualiti pembinaan serius serta elemen penipuan oleh pihak pemaju.
Menurut wakil Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia, Ridzuan Ikhlas, pihaknya telah menerima banyak laporan daripada pembeli yang mendakwa unit kediaman yang diterima tidak menepati spesifikasi seperti yang dijanjikan ketika pembelian.
Beliau berkata, isu ini perlu diberi perhatian segera oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memandangkan ia melibatkan kepentingan rakyat serta berpotensi memberi kesan kepada pembeli di Selangor dan Wilayah Persekutuan sekiranya tidak ditangani segera.
“Sekretariat Ikhlas akan membawa kes ini ke peringkat lebih tinggi termasuk agensi berkaitan sekiranya rundingan dengan pihak pemaju gagal diadakan dalam masa terdekat,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pemaju bagi mencari penyelesaian secara rundingan sebelum tindakan lanjut diambil termasuk membawa perkara ini kepada Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pihak polis, Kementerian Perumahan serta agensi berkaitan lain untuk siasatan menyeluruh.
Sementara itu, seorang pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Lai meluahkan rasa kecewa apabila unit kediaman yang diterima mempunyai pelbagai kecacatan termasuk pemasangan paip yang tidak sempurna serta keadaan dalaman yang jauh berbeza daripada unit pameran.
Menurutnya, kediaman yang dibeli dengan pinjaman melebihi RM400,000 itu tidak selari dengan kualiti yang diharapkan sehingga menyukarkan mereka untuk berpindah masuk, selain masih perlu menanggung bayaran sewa rumah sedia ada.
Seorang lagi pembeli, Punitha turut menyatakan kekecewaan terhadap mutu pembinaan yang disifatkan tidak setimpal dengan harga hartanah yang dibeli mencecah RM450,000 serta menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan untuk diduduki atau disewakan.
Dalam perkembangan sama, Ridzuan turut menggesa pihak bank agar tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira beban kewangan yang ditanggung oleh pembeli sekiranya projek berkenaan didapati bermasalah.
Tegasnya, sebarang unsur rasuah melibatkan pegawai institusi kewangan dalam kelulusan pinjaman akan dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
#KondoKajang #IsuPerumahan #PembeliTeraniaya #SkandalPemaju #RumahMampuMiliki #DefectRumah #GabunganIkhlas #BeritaAAC #HakPembeli #MalaysiaPrihatin