KUALA LUMPUR – Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin tampil menjelaskan pendirian beliau susulan pembubaran Bahagian BERSATU Lembah Pantai yang diumumkan baru-baru ini, dengan menegaskan bahawa pemecatan Timbalan Presiden parti, Hamzah Zainudin adalah satu tindakan yang “tidak masuk akal dan tidak relevan”.
Menurut beliau, gerakan menggesa peralihan kuasa dalam parti bukan digerakkan oleh Hamzah, sebaliknya dimulakan sendiri oleh ketua-ketua bahagian yang melihat keperluan perubahan kepimpinan bagi menghadapi PRU16.
“Kami yang gerakkan supaya Dato’ Sri Hamzah memaklumkan kepada Tan Sri Presiden tentang peralihan kuasa. Bukan beliau yang suruh kami,” katanya.
Muqharabbin mendakwa lebih 100 ketua bahagian menyokong usaha tersebut sebelum perkara itu dibawa kepada kepimpinan tertinggi parti. Namun, selepas pertemuan dibuat, Hamzah didakwa dituduh sebagai dalang gerakan menjatuhkan Presiden, Muhyiddin Yassin.
Beliau turut menegaskan bahawa Akuan Bersumpah (SD) yang ditandatangani bukan bertujuan menjatuhkan presiden, sebaliknya bagi memastikan peralihan kuasa dilakukan secara konsensus demi memperkukuhkan parti menjelang PRU16.
Dakwa Lembaga Disiplin Tidak Ikut Prosedur
Muqharabbin turut mempersoalkan tindakan Lembaga Disiplin parti yang menurutnya tidak mengikut prosedur sewajarnya.
“Laporan masuk, tiga hari panggil, terus pecat tanpa saksi. Itu bukan proses disiplin yang adil,” ujarnya.
Beliau menyifatkan penubuhan jawatankuasa pendamai juga gagal berfungsi dengan baik kerana tindakan pemecatan dilakukan hampir serentak dengan proses disiplin.
Bubarkan Lembah Pantai, Letak Jawatan
Sebagai tanda protes terhadap tindakan parti, beliau mengumumkan pembubaran BERSATU Lembah Pantai serta meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana melihat kepimpinan parti kini tidak lagi relevan dengan kehendak akar umbi dan rakyat yang mahukan pembaharuan.
Beliau juga menegaskan bahawa perjuangannya bukan untuk menjatuhkan mana-mana individu, sebaliknya demi memastikan parti kembali fokus kepada kepentingan rakyat, bukan sekadar retorik dalam Perhimpunan Agung Tahunan.
“Rakyat nak dengar usul untuk mereka, bukan sekadar ‘hidup presiden’ setiap kali perhimpunan,” tegasnya.
Muqharabbin turut memberi bayangan bahawa tindakan parti boleh membuka ruang kepada campur tangan pihak berkuasa termasuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sekiranya prosedur tidak dipatuhi.
#BeritaAAC #KrisisBersatu #PolitikMalaysia #HamzahZainudin #MuhyiddinYassin #PRU16 #Muqharabbin #PeralihanKuasa #BersatuBergolak #PolitikSemasa