PUTRAJAYA – Aktivis masyarakat, Ridzuan Ikhlas dari Sekretariat Ikhlas Malaysia menyeru rakyat Kedah supaya mempertimbangkan perubahan pentadbiran negeri susulan dakwaan kelemahan kerajaan negeri dalam menjana sumber ekonomi secara berkesan.
Menurut Ridzuan, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada rakyat termasuk peniaga kecil berhubung kenaikan cukai pintu dan cukai tanah yang disifatkan semakin membebankan, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memperluas sumber pendapatan negeri melalui pelaburan, pembangunan ekonomi tempatan serta sokongan kepada usahawan kecil, bukannya bergantung semata-mata kepada peningkatan kutipan cukai untuk menampung kos pentadbiran.
“Rakyat tidak boleh terus dijadikan ‘lubuk kutipan’. Negeri perlu ada pelan ekonomi yang lebih mampan supaya hasil dapat dijana tanpa menekan rakyat biasa,” katanya ketika ditemui di Putrajaya.
Ridzuan turut mempersoalkan pendekatan semasa kerajaan negeri yang didakwa membiayai projek asas seperti penyelenggaraan jalan raya dan sistem perparitan melalui kenaikan cukai, sedangkan kemudahan tersebut merupakan tanggungjawab asas pentadbiran.
Beliau berkata, rakyat Kedah wajar menilai prestasi semasa kerajaan negeri secara objektif dan berani membuat perubahan sekiranya kepimpinan sedia ada gagal menawarkan penyelesaian jangka panjang kepada masalah ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
#RidzuanIkhlas #IsuKedah #SuaraRakyat #CukaiRakyat #BeritaAAC #PolitikSemasa #EkonomiNegeri #PerubahanKedah #PeniagaKecil #MalaysiaTerkini