
KUALA LUMPUR, 26 Februari 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyuarakan kebimbangan serius berhubung satu kes disyaki penipuan projek pembersihan dan/atau pembaikan kapal yang didakwa tidak pernah wujud sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM1.022 juta.

Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya menerima aduan daripada sebuah syarikat tempatan dalam industri pembaikan dan pemulihan kapal yang mendakwa menjadi mangsa penipuan membabitkan beberapa projek termasuk yang dikatakan melibatkan kapal di luar negara.
Menurut beliau, pengadu mendakwa telah diarahkan membuat bayaran pendahuluan bagi projek-projek tersebut. Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, tuntutan bayaran gagal diselesaikan dan semakan lanjut mendapati nombor kapal serta rekod pelabuhan yang dikaitkan dengan projek berkenaan disyaki tidak wujud.
“Akibat daripada kejadian ini, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM1.022 juta. Ia bukan jumlah kecil dan memberi kesan besar kepada operasi syarikat terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Difahamkan, beberapa laporan polis telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Namun, pengadu dimaklumkan bahawa siasatan terdahulu membawa kepada keputusan tiada pendakwaan.
Sehubungan itu, melalui wakil guaman, satu representasi rasmi telah dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perak bagi memohon agar keputusan tersebut dinilai semula dan siasatan lanjut diarahkan.
MHO berpandangan isu ini bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan yang besar, malah menyentuh kepentingan awam, integriti urus niaga komersial serta keyakinan terhadap sistem keadilan jenayah negara.
“Kes seperti ini wajar diberikan perhatian serius. Siasatan menyeluruh, telus dan berkesan perlu dijalankan demi memastikan keadilan ditegakkan,” tegasnya.
MHO memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan berdiri bersama mangsa bagi memastikan hak mereka dilindungi mengikut lunas undang-undang.
#BeritaAAC #IsuSemasa #Penipuan #SkandalProjek #MHO #KeadilanUntukMangsa #PDRM #IntegritiNiaga #MalaysiaNews #SiasatanSemula