
KUALA LUMPUR, 6 Mac 2026 – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa parti itu kini membuka pintu penyatuan seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama perjuangan parti.
Menurut beliau, langkah tersebut dibuat bersempena bulan Ramadan yang disifatkan sebagai waktu terbaik untuk bermuhasabah, memperbaiki hubungan serta memperkukuh ukhuwah dalam kalangan umat Islam.
Beliau berkata, UMNO melihat bulan penuh keberkatan ini sebagai peluang untuk mempertautkan kembali tali perjuangan parti dengan mana-mana pihak yang pernah bersama UMNO sebelum ini.
“Sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada kekuatan struktur organisasi semata-mata, sebaliknya dibina atas sokongan, dokongan dan kebersamaan seluruh ahli di setiap peringkat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa UMNO melalui inisiatif Rumah Bangsa membuka ruang tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang ingin kembali atau individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti tersebut.
Menurutnya lagi, semangat Ramadan yang menekankan nilai keampunan dan perdamaian menjadi asas kepada keputusan tersebut, dengan segala kekhilafan dan perbezaan yang berlaku sebelum ini dianggap telah dimaafkan sepenuhnya.
“Dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan dan perbezaan yang lalu dimaafkan sepenuhnya demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar UMNO,” katanya.
Tambah beliau, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses penyatuan itu dengan segera mengikut tatacara yang selaras dengan Perlembagaan UMNO.
Beliau berharap usaha tersebut dapat dipermudahkan dan menjadi titik permulaan kepada penyatuan semula kekuatan parti bagi meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.
Ahmad Zahid juga menegaskan bahawa langkah tersebut penting bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara.
#UMNO #RumahBangsa #PenyatuanUMNO #PolitikMalaysia #ZahidHamidi