
KUALA LUMPUR, 8 Mac 2026 – Peniaga kecil yang menjual belon dan air tarik di Bazaar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) kini boleh menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju memberikan permit harian bagi tempoh 10 hari terakhir Ramadan.
Keputusan itu dibuat selepas cadangan dikemukakan oleh Pengerusi Pertubuhan Pengurusan Pasar Malam Kuala Lumpur, Datuk Gulam Muszaffar, yang sebelum ini mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi membincangkan isu peniaga kecil di bazar berkenaan.

Menurut beliau, pihak DBKL telah menunjukkan sikap terbuka dengan memberi kelonggaran kepada penjaja kecil supaya mereka dapat mencari rezeki secara sah sepanjang tempoh tersebut.
“Alhamdulillah, harapan dan cadangan saya agar peniaga belon dan air tarik di Bazaar Aidilfitri Jalan TAR diberikan lesen untuk 10 hari terakhir Ramadan telah dipertimbangkan. DBKL akhirnya memberi kelonggaran dengan menyediakan permit harian kepada mereka yang ingin berniaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memuji pendekatan yang diambil oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama Jabatan Pelesenan DBKL yang disifatkan lebih berhemah serta menekankan konsep “Ramadan sebagai bulan pendamaian” dalam menangani isu penjaja kecil di ibu negara.
Menurut Datuk Gulam, pendekatan tersebut berbeza dengan beberapa insiden terdahulu yang pernah mencetuskan kontroversi, termasuk isu “Abang Belon” yang pernah menjadi perhatian ramai dan menjejaskan imej penguatkuasaan terhadap penjaja kecil.
Beliau berpendapat banyak konflik boleh diselesaikan melalui pendekatan dialog dan pendamaian, bukannya tindakan keras yang akhirnya merugikan semua pihak.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan peniaga yang menerima permit supaya mematuhi semua syarat serta peraturan yang telah ditetapkan oleh DBKL.
“Buat penjaja yang diberikan permit harian, jangan culas atau melanggar syarat yang ditetapkan. Jagalah kepercayaan yang diberikan supaya peluang ini tidak disalahgunakan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan DBKL atas keprihatinan mereka dalam memastikan suasana Ramadan di ibu kota berlangsung dalam keadaan harmoni serta memberi peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan.

#BazaarAidilfitri #JalanTAR #PenjajaKecil #RezekiRamadan #DBKL #AbangBelon #BerniagaHalal #KualaLumpur #EkonomiRakyat #BeritaAAC