default

KUALA LUMPUR, 12 Mac 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sebuah organisasi pemberi pinjam wang tidak berlesen atau Ah Long yang didakwa aktif menjalankan kegiatan pemerasan dan ugutan di sekitar Lembah Klang.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, berkata perkara tersebut terbongkar selepas seorang aktivis pertubuhan itu menemui sebuah telefon pintar yang dipercayai milik ejen kepada sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen.

Menurut beliau, telefon tersebut ditemui selepas satu kejadian di kediaman seorang mangsa di kawasan Segambut, di mana beberapa individu dipercayai ejen Ah Long telah datang untuk menuntut bayaran hutang.
“Apabila aktivis MHO tiba di lokasi, perbincangan telah diadakan bersama ejen-ejen tersebut. Namun mereka secara tiba-tiba melarikan diri apabila diajak untuk meneruskan perbincangan di balai polis,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Dalam kekalutan tersebut, aktivis berkenaan menemui sebuah telefon pintar yang dipercayai milik salah seorang ejen terbabit.
Menurut beliau, niat asal aktivis tersebut hanyalah untuk memulangkan semula telefon berkenaan kepada pemiliknya, namun selepas pemeriksaan dibuat bagi mengenal pasti pemiliknya, mereka menemui pelbagai bahan yang didakwa berkaitan kegiatan jenayah.

“Hasil semakan terhadap telefon itu mendapati terdapat banyak gambar, video serta maklumat berkaitan aktiviti ugutan dan pemerasan yang dipercayai dilakukan oleh ejen-ejen sindiket Ah Long,” katanya.
Susulan penemuan tersebut, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap sindiket terbabit.
MHO turut memohon agar siasatan dijalankan di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 383 Kanun Keseksaan (pemerasan), Seksyen 503 (ugutan jenayah), Seksyen 425 (khianat terhadap harta), Seksyen 435 (membakar harta) serta Seksyen 130V berkaitan organisasi jenayah.
Dalam masa sama, MHO turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan mana-mana urusan pinjaman wang tidak berlesen yang sering menggunakan pelbagai taktik bagi memperdaya mangsa.
Menurut pertubuhan itu, kes berkaitan Ah Long semakin meningkat kebelakangan ini, dipercayai didorong oleh tekanan ekonomi yang menyebabkan sesetengah individu mengambil jalan mudah dengan meminjam daripada pemberi pinjam wang tidak berlesen.
“Mangsa sering terperangkap dalam kitaran hutang kerana walaupun jumlah bayaran telah melebihi pinjaman asal, mereka masih dipaksa membuat bayaran berterusan akibat ugutan dan intimidasi,” katanya.
Sehubungan itu, MHO berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh bagi membanteras kegiatan sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen yang didakwa semakin berleluasa di negara ini.
#AhLong #JenayahKewangan #SindiketAhLong #MHO #PDRM #JenayahLembahKlang #KesUgutan #Pemerasan #BeritaAAC #MalaysiaPrihatin