
PULAU PINANG, 10 Mac 2026 – Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar, menggesa pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat dakwaan penyalahgunaan pas oleh pendita atau sami asing yang dipercayai menjalankan ritual keagamaan di beberapa kuil di Malaysia.
Beliau berkata perkara itu dibangkitkan selepas menerima aduan daripada beberapa pendita tempatan yang mendakwa peluang mereka menjalankan upacara keagamaan semakin terhad apabila sesetengah kuil didakwa membawa masuk pendita dari luar negara tanpa dokumen kerja yang sah.
Menurut Kalaivanar, Malaysia mempunyai ramai pendita agama Hindu tempatan yang berkelayakan dan telah menjalani latihan serta pengajian agama selama bertahun-tahun, malah sebahagian daripada mereka telah berkhidmat di kuil tempatan sejak sekian lama.
“Mereka ini warga Malaysia, ada kad pengenalan, membayar cukai dan hidup serta berkhidmat kepada komuniti di negara ini. Ramai juga yang mengajar agama Hindu secara percuma kepada generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan ketika menghadiri satu pertemuan bersama wakil Malaysia Hindu Arcagar Sangam di Pulau Pinang, Selasa.
Beliau turut mendakwa terdapat kes di mana individu dari luar negara memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial atau permit lain, namun kemudiannya menjalankan peranan sebagai pendita atau sami di kuil.
Menurutnya, sekiranya dakwaan tersebut benar, tindakan itu boleh dianggap sebagai penyalahgunaan pas yang melanggar undang-undang imigresen negara.
“Kita tidak menghalang kehadiran pendita dari luar negara, tetapi mereka perlu mematuhi prosedur serta mendapatkan permit yang sah. Malaysia mempunyai undang-undang dan semua pihak perlu menghormatinya,” tegas beliau.
Kalaivanar turut mempersoalkan tindakan sesetengah kuil yang didakwa lebih cenderung membawa masuk pendita dari luar negara untuk mengendalikan upacara keagamaan walaupun terdapat ramai pendita tempatan yang berkelayakan.
Beliau berkata situasi itu bukan sahaja menimbulkan persoalan berkaitan pematuhan undang-undang imigresen, malah berpotensi menjejaskan peluang pendita tempatan untuk berkhidmat kepada komuniti.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa satu memorandum akan diserahkan kepada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia serta Menteri Dalam Negeri dalam masa terdekat bagi meminta siasatan dijalankan terhadap dakwaan berkenaan.
Menurutnya, memorandum tersebut juga akan menyenaraikan beberapa isu yang dibangkitkan oleh persatuan pendita tempatan termasuk cadangan agar kuil-kuil di Malaysia memberi keutamaan kepada pendita tempatan yang berkelayakan.
“Ini bukan soal menutup pintu kepada warga asing, tetapi memastikan undang-undang dipatuhi serta memberi keutamaan kepada pendita tempatan yang telah lama berkhidmat kepada komuniti,” katanya.
Beliau turut menyeru pihak berkuasa agar menjalankan pemantauan sekiranya terdapat unsur penyalahgunaan pas atau permit oleh individu asing yang menjalankan aktiviti keagamaan tanpa kebenaran sah di negara ini.
#AACNews #BeritaMalaysia #IsuImigresen #PenditaTempatan #SamiAsing #MalaysiaBerdaulat #KuilMalaysia #IsuSemasa #KomunitiIndiaMalaysia #BeritaTerkini