
KUALA LUMPUR, 13 Mac 2026 – Seorang wanita dikenali sebagai Lisa tampil mendakwa ibunya kerugian lebih RM2.4 juta selepas terlibat dalam satu skim pelaburan yang didakwa gagal menunaikan janji pulangan seperti dipersetujui.
Menurut Lisa, keluarganya baru sahaja membuat laporan polis berhubung pelaburan berjumlah RM3.025 juta yang dikatakan diperkenalkan oleh seorang ejen yang sudah lama dikenali dan dipercayai mengurus aliran kewangan keluarga mereka.
Beliau berkata, pelaburan itu mula diperkenalkan pada tahun 2023 apabila ibunya pada awalnya hanya mahu membuat pelaburan minimum sebanyak RM25,000 sebagai permulaan. Namun, selepas didakwa dipujuk dan diyakinkan oleh ejen terbabit, ibunya akhirnya menyerahkan cek bernilai RM3 juta untuk menyertai skim berkenaan.
Menurut Lisa, antara faktor utama yang meyakinkan ibunya ialah jaminan bahawa pelaburan itu kononnya selamat kerana wang tersebut dimasukkan ke dalam sebuah syarikat pemegang amanah (trustee), bukannya ke akaun peribadi.
“Dalam perjanjian, mereka janjikan pulangan sekitar 3.5 peratus sebulan, dan kami dimaklumkan jumlah itu akan dibayar setiap suku tahun. Apa yang dijanjikan kepada kami ialah sekitar RM300,000 bagi setiap suku tahun,” katanya.
Lisa berkata, pada peringkat awal, keluarganya menerima bayaran pertama sebanyak RM300,000 sekitar hujung Ogos 2023, iaitu kira-kira tiga bulan selepas pembayaran dibuat pada April tahun sama. Bayaran itu menyebabkan keluarga percaya pelaburan tersebut benar-benar sah.
Bagaimanapun, katanya, pembayaran bagi suku tahun berikutnya mula mengalami kelewatan sebelum jumlah yang diterima semakin berkurangan. Menurutnya, terdapat keadaan di mana syarikat pemegang amanah hanya membayar sebahagian daripada jumlah dijanjikan, manakala baki yang sepatutnya “ditambah” oleh syarikat pelaburan pula lewat dibayar atau tidak dibayar langsung.
“Bila masuk pusingan seterusnya, bayaran makin tak konsisten. Ada alasan seperti penutupan akaun tahunan dan pelbagai kelewatan lain diberikan,” katanya.
Lisa berkata, keadaan itu menyebabkan ibunya semakin curiga lalu mendesak untuk bertemu sendiri dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pelaburan terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keadaan sebenar syarikat.
Menurut beliau, dalam pertemuan tersebut sekitar penghujung tahun 2025, CEO berkenaan didakwa mengakui bahawa beliau sendiri telah “ditipu oleh rakan kongsi” dan tidak mempunyai dana mencukupi untuk memulangkan wang pelabur.
“Bila ibu desak untuk dapatkan penjelasan jujur, barulah dia mengaku bahawa dia sendiri kena tipu dengan partner dia dan dia tak ada duit. Dia cuma kata sedang cari funders lain untuk cover balik semua tu,” katanya.
Lisa berkata, sehingga kini keluarganya hanya menerima kira-kira RM550,000, termasuk satu bayaran terakhir sekitar RM50,000, jauh lebih rendah berbanding jumlah keseluruhan pelaburan.
Beliau turut mendakwa ejen yang memperkenalkan pelaburan itu masih berhubung dengan ibunya seperti biasa, walaupun didakwa tidak menunjukkan rasa bertanggungjawab terhadap kerugian yang berlaku.
Malah, Lisa mendakwa ibunya sebelum ini juga pernah mengalami kerugian sekitar RM700,000 dalam satu lagi pelaburan gagal yang turut diperkenalkan oleh individu sama.
“Cara dia berkomunikasi memang sangat meyakinkan, penuh kata-kata manis, sebab itu ibu percaya. Dia juga sudah lama menguruskan beberapa pelaburan keluarga kami,” katanya.
Menurut Lisa, tekanan akibat kehilangan wang dalam jumlah besar itu memberi kesan serius terhadap kesihatan ibunya sehingga dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).
“Ibu sangat terkesan selepas tahu keadaan sebenar. Kami sekeluarga pun sangat sedih dan sekarang hanya mahu keadilan ditegakkan,” katanya.
Beliau berharap pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh dan teliti supaya individu yang bertanggungjawab dapat diheret ke muka pengadilan.
“Kami harap siasatan dilakukan dengan adil dan mereka yang menganiaya ibu saya menerima hukuman sewajarnya,” katanya.
Difahamkan, laporan polis yang dibuat itu merupakan laporan pertama oleh pihak keluarga berhubung kes berkenaan.
#BeritaAAC #PelaburanTidakWujud #MangsaPelaburan #LaporanPolis #SkimPelaburan #KeadilanBuatMangsa!#JenayahKewangan #AwasPenipuan #PelaburanScam #MalaysiaTerkini