
KUALA LUMPUR – Cadangan konsep “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 terus menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pemimpin politik apabila ada pihak yang menyokong usaha perpaduan tersebut, manakala sebahagian lain dikatakan meletakkan pelbagai syarat.
Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan, berkata UMNO sebenarnya telah membuka ruang seluas-luasnya kepada mana-mana pihak yang ingin bersama dalam agenda perpaduan tanpa mengenakan sebarang syarat.
Menurut beliau, usaha awal ke arah penyatuan itu telah dimulakan melalui pertemuan melibatkan beberapa pemimpin UMNO bersama wakil parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Satu langkah penting telah dibuat oleh Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan pertemuan pertama dengan NGO dan parti politik,” katanya ketika mengulas mengenai perkembangan konsep “Rumah Bangsa”.
Dr Azam berkata pertemuan tersebut menunjukkan kesediaan UMNO untuk membuka ruang dialog dan kerjasama dengan pelbagai pihak demi memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan beberapa pemimpin politik yang dilihat memberi pelbagai syarat sebelum menyokong usaha tersebut.
“UMNO sudah membuka pintu tanpa syarat. Kalau ada pihak yang tidak mahu masuk, itu hak mereka. Tetapi tidak wajar meletakkan syarat seolah-olah UMNO perlu mengikut kehendak mereka,” katanya.
Menurut beliau lagi, usaha perpaduan sepatutnya dilihat dari sudut niat dan keikhlasan, bukannya dipengaruhi oleh sentimen politik atau kepentingan peribadi.
Dr Azam turut menegaskan bahawa matlamat utama konsep “Rumah Bangsa” adalah untuk menyatukan masyarakat Melayu dan Islam, selain memperkukuh kestabilan politik negara.
“Perpaduan bergantung kepada niat. Jika niat kita baik untuk menyatukan masyarakat, maka usaha itu perlu disokong dan bukan dipersendakan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa usaha perpaduan tersebut mampu memberi manfaat kepada rakyat sekiranya semua pihak bersedia mengetepikan perbezaan politik dan memberi keutamaan kepada kepentingan bersama.
Menurutnya, UMNO telah mengambil langkah pertama membuka ruang perpaduan, dan terpulang kepada pihak lain sama ada mahu menyambut pelawaan tersebut atau sebaliknya.
“Yang penting, pintu perpaduan sudah dibuka. Kini terpulang kepada semua pihak sama ada mahu bersama atau terus memilih jalan masing-masing,” katanya.
#BeritaAAC #RumahBangsa #PolitikMalaysia #UMNO #PerpaduanMelayu #PAU2025 #DrAzamRauzan #ZahidHamidi #PolitikSemasa #IsuPolitik