
KUALA LUMPUR, 31 Mac 2026 – Naib Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Irwan Fahmi Idris, menggesa kerajaan supaya lebih tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang berhubung isu tanah yang didakwa melibatkan milik Yayasan Kubra.
Menurut beliau, perkara berkenaan sepatutnya tidak perlu dipanjangkan sehingga ke mahkamah sekiranya status pemilikan tanah itu sudah jelas dan tidak boleh dipertikaikan.
Irwan berkata, jika sesuatu tanah itu sah milik pihak tertentu, maka sebarang tindakan pencerobohan atau penggunaan tanpa kebenaran wajar ditangani segera mengikut saluran undang-undang.
“Kalau tanah itu memang milik Yayasan Kubra, maka ikutlah undang-undang. Tidak perlu dipolitikkan. Ini perkara yang sangat jelas dan straight forward,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pemilik tanah pula dilihat seolah-olah berdepan kesukaran untuk bertindak, sedangkan menurutnya isu tersebut melibatkan hak pemilikan yang nyata.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pendirian PERKASA bukan bersifat menolak mana-mana kaum, sebaliknya semua pihak perlu akur kepada undang-undang sedia ada tanpa dipengaruhi sentimen politik atau emosi.
Irwan berkata, sekiranya undang-undang memihak kepada mana-mana pihak, termasuk masyarakat India, pihaknya tetap menghormati keputusan tersebut selagi ia berlandaskan peraturan dan perundangan negara.
Beliau juga mencadangkan agar laporan polis dibuat bagi memaklumkan kepada pihak berkuasa supaya aspek keselamatan dan ketenteraman awam dapat dipelihara sekiranya keadaan berpotensi mencetuskan ketegangan.
Selain menyentuh isu tanah, Irwan turut mengaitkan kelemahan kerajaan dalam aspek penguatkuasaan dengan isu lain seperti penyeludupan diesel, yang menurutnya tidak seharusnya menyebabkan rakyat umum menanggung beban akibat kegagalan pihak berwajib menjalankan audit dan tindakan tegas.
Katanya, kerajaan perlu kembali kepada asas pentadbiran yang berlandaskan undang-undang, audit yang berkesan dan penguatkuasaan yang konsisten tanpa menghukum rakyat yang tidak bersalah.
Beliau turut menyifatkan kelemahan tindakan penguatkuasaan sebagai punca berlakunya kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat, sekali gus membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mempolitikkan sesuatu isu yang sepatutnya boleh diselesaikan secara lebih mudah dan teratur.
#BeritaAAC #IsuTanah #YayasanKubra #PERKASA #KuatKuasaUndangUndang