
KUALA LUMPUR, 6 April 2026 – Aktivis sosial dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, menggesa pihak berkuasa khususnya Ketua Polis Negara (IGP) supaya mengambil tindakan segera dalam membantu seorang wanita yang didakwa menjadi mangsa ugutan ahlong sehingga berada dalam tekanan emosi yang serius.
Menurut beliau, isu tersebut dibawa kepadanya selepas menerima panggilan daripada rakan NGO yang memaklumkan seorang wanita dikenali sebagai Hany Priya, yang aktif dalam bidang tarian tradisi dan moden dalam kalangan masyarakat India, berdepan ancaman berterusan daripada sindiket pinjaman wang tidak berlesen.
Kalaivanar berkata, mangsa pada asalnya didakwa hanya meminjam RM1,000, namun jumlah itu meningkat secara mendadak dalam tempoh singkat akibat caj dan tekanan berterusan daripada pihak ahlong.
Dakwanya, mangsa yang cuba melangsaikan hutang dengan membuat pinjaman daripada pihak lain akhirnya terperangkap dalam kitaran hutang yang semakin membebankan sehingga jumlah tuntutan didakwa melonjak kepada puluhan ribu ringgit.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana pihak ahlong boleh memperoleh maklumat peribadi mangsa serta ahli keluarga, termasuk nombor telefon rakan-rakan dan kenalan, sebelum maklumat itu disebarkan melalui aplikasi WhatsApp bagi memberi tekanan dan memalukan mangsa.
“Bagaimana mereka boleh tahu maklumat keluarga, adik-beradik dan kenalan mangsa? Ini bukan perkara kecil. Kerajaan perlu siasat dari mana data peribadi ini bocor,” katanya dalam satu rakaman kenyataan di Kuala Lumpur, petang tadi.
Dalam masa sama, Kalaivanar turut menggesa Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dan pihak kerajaan supaya menyiasat kemungkinan berlakunya penyalahgunaan data peribadi yang memudahkan sindiket ahlong menjejaki mangsa serta rangkaian keluarganya.
Beliau mendakwa mangsa juga telah membuat laporan polis di Serdang, namun melahirkan rasa kecewa terhadap nasihat yang didakwa diberikan agar mangsa berpindah rumah dan menutup telefon, tanpa tindakan lebih tegas diambil terhadap pihak yang mengugut.
“Polis sepatutnya bantu selamatkan mangsa, bukan sekadar suruh pindah rumah atau tutup telefon. Kalau pinjam pun, kenapa sampai ugut dan menakutkan keluarga?” katanya.
Sementara itu, Hany Priya dalam kenyataannya merayu agar IGP dan pihak polis tampil membantu mangsa-mangsa seperti dirinya yang berdepan tekanan akibat ugutan ahlong.
Menurutnya, dia tidak lagi mampu menanggung tekanan akibat panggilan dan ugutan berterusan, termasuk ancaman terhadap keselamatan dirinya dan keluarga serta tindakan memalukan namanya kepada rakan-rakan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dirinya berada dalam tekanan yang amat berat sebelum akhirnya dibantu oleh kenalan yang menghubungi Kalaivanar untuk mendapatkan pertolongan segera.
Mengulas lanjut, Kalaivanar menasihatkan orang ramai agar tidak sesekali membuat pinjaman dengan ahlong walaupun berada dalam keadaan terdesak, kerana kesannya bukan sahaja melibatkan beban hutang, malah boleh mengundang ugutan, kebocoran data peribadi dan tekanan terhadap seluruh keluarga.
Beliau berkata, pihaknya kini telah menyediakan surat untuk dihantar kepada IGP bagi mendesak campur tangan segera demi melindungi mangsa dan menyiasat sindiket yang terlibat.
#Ahlong #JenayahKewangan #LindungiMangsa #DataPeribadi #BeritaAAC