
KUALA LUMPUR, 6 April 2026 – Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa wang ganti rugi sebanyak RM50,000 hasil saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah, YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, tidak akan digunakan untuk kepentingan peribadi.
Menurut beliau, seperti yang dijanjikan sejak awal, keseluruhan wang tersebut akan disalurkan ke akaun Wakaf MARA bagi membantu pelajar-pelajar miskin, daif dan anak yatim yang memerlukan bantuan pendidikan.
Asyraf Wajdi berkata, beliau telah pun meminta pihak pengurusan MARA agar wang ganti rugi itu dimasukkan terus ke dalam akaun Wakaf MARA sebaik sahaja ia diterima kelak.
Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Tinggi Melaka yang merekodkan Penghakiman Persetujuan berhubung kes saman fitnah melibatkan beliau dan MARA terhadap Mas Ermieyati.
Menurut kenyataan beliau, Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Isa Aziz Ibrahim telah merekodkan bahawa Mas Ermieyati mengakui kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini adalah tidak benar dan berunsur fitnah terhadap beliau serta MARA.
Dalam penghakiman tersebut, Mas Ermieyati juga bersetuju untuk memohon maaf secara bertulis, menarik balik serta memadamkan semua hantaran video berkaitan di semua platform media sosial miliknya, selain membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada MARA.
Asyraf Wajdi berkata, keputusan itu diharap menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, khususnya yang boleh menjejaskan reputasi individu dan institusi.
Tegas beliau, fitnah bukan sahaja memberi kesan kepada nama baik seseorang, malah boleh merosakkan imej sesebuah institusi yang berperanan besar dalam membantu masyarakat.
#DrAsyrafWajdi #MARA #WakafMARA #SamanFitnah #BeritaAAC