
KUALA LUMPUR, 6 April 2026 – Parti GERAKAN Rakyat Malaysia menegaskan bahawa mana-mana parti politik yang mahu menyertai Perikatan Nasional (PN) adalah dialu-alukan, selagi mempunyai ideologi yang sehaluan serta komited untuk memperjuangkan nasib rakyat.
Presidennya, YB Dato’ Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pendirian GERAKAN sebagai salah satu parti komponen dalam PN adalah jelas, iaitu terbuka menerima penyertaan parti-parti lain yang berkongsi matlamat untuk membantu rakyat, mewakili suara rakyat dan memperkukuh peranan pembangkang.
Menurut beliau, PN sentiasa mengalu-alukan mana-mana parti yang berkongsi perjuangan sama, namun setiap permohonan perlu melalui proses dan prosedur tertentu seperti yang termaktub dalam perlembagaan gabungan tersebut.
“Mana-mana parti yang berkongsi ideologi dengan Perikatan Nasional, kita memang alu-alukan. Tetapi ia mesti melalui proses tertentu dan perlu dibincangkan terlebih dahulu,” katanya.
Dominic turut menjelaskan bahawa hubungan antara parti-parti komponen dalam PN seperti PAS, BERSATU, MIPP dan GERAKAN berada dalam keadaan erat hasil kerjasama yang telah lama terjalin menerusi pelbagai pilihan raya termasuk PRU, PRN dan PRK.
Beliau berkata, kerjasama yang terjalin dalam gabungan itu bukan sesuatu yang baharu, malah telah dibina melalui pengalaman politik dan gerak kerja bersama dalam tempoh yang panjang.
Mengulas kemungkinan penyertaan parti-parti baharu ke dalam PN, beliau berkata perkara itu tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa kerana kepimpinan gabungan perlu mendapatkan maklumat terperinci sebelum sesuatu keputusan dibuat.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada permohonan Parti Pejuang Tanah Air untuk menyertai PN sebelum ini, yang menurutnya tidak terus diterima atau ditolak, sebaliknya perlu diteliti secara lebih mendalam terlebih dahulu.
Dalam masa sama, Dominic menekankan bahawa keutamaan utama dalam PN ketika ini ialah memastikan perpaduan dalaman semua parti komponen terus diperkukuh, memandangkan cabaran sebenar datang dari luar gabungan, bukannya sesama sendiri.
Beliau berpandangan bahawa rakyat ketika ini semakin tidak berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Madani berikutan tekanan kos sara hidup dan janji-janji yang didakwa masih belum ditunaikan.
Sehubungan itu, katanya, PN perlu dilihat sebagai sebuah “government in waiting” yang bersedia menawarkan alternatif kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang.
“Kalau Perikatan Nasional mahu menjadi government in waiting, perpaduan dalam kalangan semua komponen parti adalah sangat penting,” katanya lagi.
Menyentuh soal kedudukan Ketua Pembangkang bagi PN, Dominic berkata GERAKAN mengambil pendirian berkecuali dan tidak mahu campur tangan dalam urusan politik dalaman parti-parti komponen lain.
Beliau mengakui GERAKAN ketika ini tidak mempunyai Ahli Parlimen, sekali gus menghadkan ruang untuk menyuarakan pandangan secara langsung di Parlimen.
Namun begitu, beliau menyerahkan kepada pimpinan tertinggi PN untuk mengumumkan siapa yang layak memegang peranan berkenaan, sambil menegaskan bahawa fokus utama GERAKAN ialah memastikan kekuatan dan perpaduan PN terus dipertahankan demi menghadapi pilihan raya akan datang.
Katanya, semua parti komponen perlu terus memperkukuh hubungan sesama sendiri dan bergerak sebagai satu pasukan sekiranya mahu mencapai kemenangan.
#BeritaAAC #PerikatanNasional #DominicLau #PolitikMalaysia #PRU16