
KUALA LUMPUR, 14 April 2026 – Pencapaian Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tahun ini disifatkan amat membanggakan apabila lima MRSM berjaya berada di kedudukan teratas dalam kalangan sekolah-sekolah terbaik di seluruh Malaysia.
Pengerusi MARA, Dato’ Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kejayaan tersebut merupakan hadiah paling istimewa sempena ulang tahun ke-60 MARA pada tahun ini, sekali gus membuktikan kecemerlangan berterusan institusi pendidikan di bawah agensi itu.
Menurut beliau, pencapaian tersebut bukan sahaja membanggakan warga MARA, malah menjadi bukti bahawa sistem pendidikan MRSM terus relevan dan mampu melahirkan pelajar cemerlang yang seimbang dari sudut akademik serta sahsiah.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap peningkatan ketara prestasi MRSM, khususnya melibatkan MRSM Ulul Albab yang dilihat berjaya melahirkan pelajar yang bukan sahaja menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran, malah turut mencipta kecemerlangan akademik pada tahap tertinggi.
Katanya, perkembangan itu membuktikan agenda untuk memperluaskan konsep Ulul Albab ke semua 57 MRSM di seluruh negara adalah satu keputusan yang tepat dan bertepatan dengan aspirasi untuk membentuk generasi pelajar yang holistik, cemerlang dunia dan akhirat.
Dalam masa sama, Dr Asyraf turut memaklumkan bahawa permohonan bagi program penajaan Young Talent Development Programme (YTDP) telah ditutup semalam dan kini sedang melalui proses penilaian.
Jelas beliau, persaingan pada tahun ini amat sengit berikutan jumlah pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang semua A melebihi 13,000 orang, sedangkan tempat yang diperuntukkan untuk penajaan itu hanya sekitar 1,500 orang sahaja.
Sehubungan itu, katanya, pihak MARA akan meneliti setiap permohonan dengan sebaiknya bagi memastikan hanya calon paling layak dan terbaik dipilih untuk menerima penajaan berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan MRSM dan sambutan luar biasa terhadap program penajaan MARA membuktikan keyakinan masyarakat terhadap peranan MARA dalam membina masa depan generasi muda negara terus kukuh.
#MRSM #MARA60Tahun #AsyrafWajdi #UlulAlbab #PendidikanMalaysia