
SHAH ALAM, 23 April 2026 – Pemuda UMNO Negeri Selangor mengecam keras tindakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan daripada DAP yang didakwa membangkitkan isu penternakan babi dalam konteks perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja, sambil menyifatkan ucapan tersebut sebagai biadap dan berpotensi mengundang kemurkaan DYMM Sultan Selangor.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Dato’ Mohd Imran Tamrin, berkata pihaknya menjunjung kasih atas titah ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor sempena Istiadat Mesyuarat Pertama Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 pada 20 April lalu, yang disifatkan sarat dengan pandangan, nasihat, peringatan dan syor penting melibatkan pembangunan, tadbir urus serta kepentingan rakyat Selangor.
Menurut beliau, kenyataan ADN Seri Kembangan semasa sesi pagi persidangan Dewan Negeri Selangor pada 22 April didakwa telah menyentuh isu ternakan babi serta membuat perbandingan hak kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan, namun hujahan itu dianggap meleset dan gagal memahami keseluruhan struktur undang-undang termasuk kedudukan serta peranan DYMM Sultan Selangor seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila konteks ucapan ADN berkenaan dilihat seolah-olah mencabar dan mempertikaikan titah DYMM Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi, sekali gus memberi gambaran bahawa wakil rakyat terbabit tidak berpuas hati dengan pendirian yang telah dizahirkan secara jelas oleh baginda.
Dalam kenyataan itu, Pemuda UMNO Selangor turut memetik titah Sultan Selangor yang menegaskan bahawa ternakan babi tidak sesuai diadakan di negeri itu, malah baginda telah menjelaskan faktor-faktor yang menjadi asas kepada pendirian tersebut.
Pemuda UMNO Selangor juga mengambil maklum tindakan kerajaan negeri yang sebelum ini dilaporkan selari dengan titah baginda, termasuk pengumuman Menteri Besar Selangor pada 26 Januari 2026 mengenai pembatalan projek ternakan babi di Bukit Tagar, diikuti pengumuman pada 12 Februari 2026 berhubung pemberhentian lesen ternakan babi serta penutupan ladang-ladang babi di negeri berkenaan.
Sehubungan itu, Mohd Imran menegaskan adalah janggal dan tidak bertanggungjawab apabila ADN Seri Kembangan yang merupakan sebahagian daripada wakil kerajaan negeri dilihat mempunyai pendirian berbeza, lebih-lebih lagi apabila isu tersebut dibangkitkan dalam perbahasan yang berkait langsung dengan titah DYMM Sultan Selangor.
Beliau turut mendesak supaya ADN Seri Kembangan segera menarik balik kenyataan serta kandungan ucapan perbahasan itu dalam sesi persidangan hari ini. Tegasnya, jika gagal atau enggan berbuat demikian, wakil rakyat berkenaan wajar dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor selaras dengan Peraturan Tetap 70(3), selain dikenakan tindakan tegas sebagai peringatan terhadap perbuatan yang dianggap tidak bertanggungjawab.
Pemuda UMNO Selangor menegaskan bahawa perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negeri yang dinaungi institusi Raja Melayu, yang kedudukan dan peranannya dijamin oleh Perlembagaan serta undang-undang.
#AACNews #PemudaUMNOSelangor #SeriKembangan #TitahSultanSelangor #DUNSelangor