
KUALA LUMPUR, 7 Mei 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar mencabar Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri sekiranya benar-benar mahu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Gulam berkata, tindakan itu lebih wajar berbanding terus menyerang UMNO di pentas ceramah, khususnya selepas isu penarikan sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan menjadi perhatian politik semasa.
Menurut beliau, keputusan di peringkat pucuk pimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan sebelum ini telah menetapkan bahawa 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional masih kekal menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Namun katanya, perkara itu perlu dibezakan dengan pendirian 14 ADUN terbabit yang hilang keyakinan serta menarik sokongan terhadap Aminuddin untuk terus memegang jawatan Menteri Besar.
“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah jelaskan bahawa kedua-dua perkara ini berbeza. Menarik sokongan terhadap Menteri Besar tidak bermaksud menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika menjawab soalan media.
Gulam yang juga Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, ceramah Pakatan Harapan yang berlangsung baru-baru ini menampakkan seolah-olah masih wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pimpinan utama PH terhadap UMNO.
Beliau berkata, kehadiran beberapa pemimpin utama PH dalam ceramah tersebut termasuk Datuk Seri Saifuddin Nasution, Anthony Loke, Mohamad Sabu dan Aminuddin sendiri menunjukkan isu berkenaan masih terus dipolitikkan walaupun keputusan pucuk pimpinan telah dianggap selesai.
“Apabila mereka menghentam UMNO secara sembrono, sedangkan kita tahu isu ini melibatkan institusi, maka kalau benar ada keberanian, saya cabar Menteri Besar Negeri Sembilan untuk menjadi gentleman,” katanya.
Gulam berkata, sekiranya Aminuddin mahu menguji sokongan rakyat, jalan terbaik ialah memohon kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi membubarkan DUN.
“Kalau nak bertarung secara sihat dalam amalan demokrasi, bubarkan DUN dan kita tengok apa seterusnya. Selepas itu barulah kita boleh menilai kekuatan masing-masing,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar pemimpin politik tidak hanya menggunakan pentas ceramah untuk menyerang UMNO, sebaliknya berani menyerahkan semula mandat kepada rakyat sekiranya benar yakin dengan kedudukan masing-masing.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #NegeriSembilan #UMNO #KerajaanPerpaduan