
KUALA LUMPUR, 10 Mei 2026 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan agenda Bumiputera dan Islam tidak wajar dilihat sebagai agenda terasing, sebaliknya merupakan sebahagian daripada agenda nasional yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, perkara itu selaras dengan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta asas kontrak sosial yang perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar secara tersusun dan berkesan.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, dapatan serta resolusi daripada Musyawarrah Nasional perlu diteruskan bukan hanya sebagai rumusan, tetapi diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan melalui kementerian, jabatan, agensi, GLC, GLIC dan organisasi berkaitan.
“Saya akan mengambil tanggungjawab bukan hanya membawa semua resolusi dan pandangan ini ke Kabinet, tetapi saya tentunya akan mengkoordinasikan dengan kementerian, jabatan, agensi, badan-badan GLC dan GLIC serta organisasi tertentu untuk pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas hasil pembentangan Musyawarrah Nasional yang disifatkannya sebagai berani, berfakta dan mempunyai pendekatan luar biasa dalam membincangkan hala tuju agenda Bumiputera serta Islam.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Musyawarrah Nasional, Tan Sri Ghani Othman serta pengerusi-pengerusi teras yang telah membentangkan pandangan dan cadangan masing-masing berdasarkan fakta.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa perbincangan tersebut tidak menyanggah mana-mana agama atau kaum, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh agenda nasional berasaskan kedudukan yang telah termaktub dalam Perlembagaan.
“Tidak ada satu patah pun daripada pengerusi teras yang menyanggah mana-mana agama ataupun menyanggah mana-mana kaum. Kita bercakap tentang diri kita, tentang apa yang kita rasakan untuk menerjemahkan agenda nasional,” katanya.
Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya setiap pengerusi teras mengadakan pembentangan lebih terperinci setiap dua bulan bagi memastikan semua cadangan dapat diperhalusi dan difahami sebelum dilaksanakan.
Beliau berkata, sasaran penyelesaian bagi teras-teras berkenaan dijangka dapat dicapai menjelang pertengahan tahun hadapan, dengan pemantauan pelaksanaan dibuat melalui semua saluran kerajaan bagi menilai prestasi setiap saranan Musyawarrah Nasional.
Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa pindaan dan pembaharuan Akta MARA akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua minggu lagi, selepas Perdana Menteri mengarahkan MARA mempersiapkan pindaan akta tersebut dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, beliau telah mempengerusikan dua mesyuarat bersama ahli-ahli majlis, pegawai kanan dan panel peguam bagi meneliti perincian pindaan berkenaan.
Menurut beliau, pindaan itu penting bagi memastikan MARA kekal berada di landasan asal penubuhannya, yang bermula daripada RIDA dan berakar daripada Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 1965.
“Akta ini dibuat supaya kita kembali kepada landasan asal dan supaya tata kelola pengurusan MARA ini tidak lagi berubah apabila Ketua Pengarah bertukar, Pengerusi MARA bertukar, Menteri yang menjaga MARA bertukar, apatah lagi jika kerajaan bertukar.
“Akta itu tetap digunakan bukan hanya sebagai panduan, tetapi mesti dan wajib diikuti,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan sebarang tafsiran negatif atau berbeza-beza terhadap hala tuju MARA, selain memastikan institusi tersebut terus memainkan peranan utama dalam memperkukuh pembangunan Bumiputera.
#BeritaAAC #AgendaBumiputera #AhmadZahidHamidi #MusyawarrahNasional #MARA