
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan menyifatkan Konvensyen UMNO sempena ulang tahun ke-80 parti itu sebagai medan penting untuk UMNO menilai semula kekuatan, kelemahan dan hala tuju perjuangan parti dalam mendepani cabaran politik semasa.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menurutnya kekal tenang dan konsisten memimpin parti walaupun berdepan pelbagai kritikan daripada pihak luar mahupun dalaman parti sendiri.
Menurut Dr Azam, walaupun beliau tidak dapat hadir ke konvensyen tersebut kerana mempunyai urusan di Johor, beliau tetap mengikuti setiap ucapan pemimpin utama UMNO termasuk ucapan ketua-ketua perhubungan negeri.
Katanya, antara ucapan yang menarik perhatian beliau ialah ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat yang menyentuh mengenai realiti sebenar UMNO dari sudut pandangan rakyat Malaysia.
“UMNO kena sedar diri. UMNO tak boleh cerita pasal nostalgia sahaja. UMNO harus cerita tentang masa depan,” katanya ketika mengulas mesej penting yang wajar diambil daripada konvensyen berkenaan.
Dr Azam berkata, dalam suasana politik hari ini, khususnya bagi menarik sokongan generasi muda dan Gen Z, UMNO tidak boleh terlalu bergantung kepada sejarah perjuangan semata-mata, sebaliknya perlu tampil dengan agenda masa depan yang lebih dekat dengan kehendak rakyat.
Beliau turut memuji Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang disifatkannya sebagai pemimpin muda yang bekerja, berfakta dan mempunyai pendekatan yang jelas dalam pentadbiran negeri.
Dalam masa sama, Dr Azam turut menzahirkan penghargaan terhadap pendekatan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menurutnya membawa mesej penting berkaitan ekonomi, kepimpinan dan peranan institusi seperti MARA dalam mengangkat martabat orang Melayu.
Bagaimanapun, Dr Azam mengingatkan UMNO agar tidak terlalu ghairah dengan angka keahlian atau dakwaan sokongan anak muda kerana angka besar tidak semestinya diterjemahkan kepada undi dalam pilihan raya.
Beliau memberi contoh beberapa negeri yang mempunyai jumlah ahli UMNO yang besar, namun keputusan pilihan raya menunjukkan tidak semua ahli parti memberikan sokongan kepada Barisan Nasional.
“Kita jangan bermimpi dengan angka. Kita jangan gah dengan angka. UMNO parti Melayu terbesar, tetapi kita hanya dapat 26 kerusi Parlimen,” katanya.
Menurutnya lagi, UMNO perlu memberi tumpuan kepada usaha melahirkan anak muda yang bukan sahaja menjadi ahli parti, tetapi benar-benar mempunyai jiwa perjuangan dan sanggup memberikan undi kepada UMNO serta Barisan Nasional.
Mengulas mengenai Johor, Dr Azam berpandangan rakyat negeri itu wajar terus memberikan mandat kukuh kepada Barisan Nasional kerana kerajaan negeri sedia ada dilihat berjaya menjaga kebajikan pelbagai golongan rakyat.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa Barisan Nasional mempunyai peluang besar untuk terus memperkukuh kedudukan di Johor sekiranya parti berani melakukan perubahan dari segi pendekatan, calon dan strategi komunikasi politik.
Katanya, UMNO perlu menampilkan calon yang bukan sahaja diterima akar umbi, tetapi juga mesra media sosial, memahami teknologi dan mampu berhubung dengan pengundi muda secara lebih berkesan.
“UMNO perlu perubahan paradigma. Kita bukan sahaja mahu orang muda, tetapi juga pemimpin berpengalaman yang masih relevan, aktif dan mampu mendekati rakyat,” katanya.
Dr Azam menegaskan, sambutan ulang tahun ke-80 UMNO seharusnya menjadi titik penting untuk parti memperkukuh semula perjuangan dengan lebih realistik, berani berubah dan tidak terus terperangkap dengan nostalgia masa lalu.
#BeritaAAC #UMNO80Tahun #DrAzamRauzan #PolitikMalaysia #JohorMemilih