
KUALA LUMPUR, 28 Mei 2026 – UMNO Bahagian Batu berjaya melaksanakan program ibadah korban Aidiladha dengan penyembelihan sebanyak enam ekor lembu, sekali gus membolehkan lebih 600 paket daging korban diagihkan kepada penduduk sekitar Parlimen Batu.
Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, jumlah korban pada tahun ini meningkat berbanding empat ekor lembu pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, pertambahan itu merupakan rezeki yang membolehkan lebih ramai penduduk kurang berkemampuan menerima manfaat daripada agihan daging korban tersebut.
“Alhamdulillah tahun ini kita korbankan enam ekor lembu. Tahun lepas hanya empat ekor dan tahun ini rezeki bertambah. Lebih kurang 600 lebih paket daging korban dapat diagihkan kepada warga Parlimen Batu yang kurang berkemampuan,” katanya.
Gulam berkata, kaedah pengagihan pada tahun ini turut dilaksanakan dengan pendekatan berbeza apabila UMNO Bahagian Batu membuka pendaftaran kepada semua penduduk Parlimen Batu melalui sistem kod QR.

Jelas beliau, agihan tersebut tidak dilakukan melalui cawangan semata-mata, sebaliknya dibuka kepada mana-mana penduduk dalam Parlimen Batu yang ingin mendapatkan daging korban.
“Kaedah pengagihan kali ini agak berbeza sedikit. Kami tidak melalui cawangan-cawangan, tetapi buka kepada semua penduduk dalam Parlimen Batu melalui pendaftaran QR Code.
“Alhamdulillah, respon begitu baik,” katanya.
Program itu turut digerakkan oleh kira-kira 200 urus setia daripada pelbagai peringkat UMNO Bahagian Batu termasuk cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri.

Dalam masa sama, pihak penganjur turut menyediakan juadah makan malam sebagai penghargaan kepada semua petugas yang menjayakan program tersebut.

Gulam turut melahirkan rasa terharu apabila sambutan penduduk melebihi jangkaan, dengan orang ramai mula beratur lebih awal sebelum waktu edaran yang dijadualkan.

Katanya, edaran pada asalnya dijangka bermula sekitar jam 5 petang, namun penduduk sudah mula beratur panjang sejak selepas jam 4 petang bagi mendapatkan sumbangan daging korban.
“Saya begitu terharu kerana sambutan kali ini sangat baik. Saya jangkakan pukul 5 petang baru buat edaran, rupanya pukul 4 lebih sudah beratur panjang untuk ambil sumbangan daging korban ini,” katanya.
Beliau berkata, agihan dilakukan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat, memandangkan jumlah paket daging korban adalah terhad.
Menurutnya, daripada lebih 600 paket yang disediakan, sebahagian besar telah selesai diagihkan dan hanya sekitar 100 hingga 150 paket masih berbaki ketika program sedang berlangsung.
Gulam dalam pada itu memohon maaf kepada mana-mana penduduk yang tidak berkesempatan menerima agihan pada kali ini.
Beliau memberi jaminan UMNO Bahagian Batu akan menambah baik pelaksanaan program korban pada tahun hadapan, termasuk usaha menambah jumlah sumbangan daging korban untuk manfaat lebih ramai penduduk Parlimen Batu.
“Kalau ada yang tidak dapat selepas ini, saya mohon maaf. Insya-Allah tahun depan kita akan memperbaiki dan menambah sumbangan daging korban kepada penduduk-penduduk dalam Parlimen Batu,” katanya.
Program korban tersebut mencerminkan komitmen UMNO Bahagian Batu dalam memperkukuh hubungan bersama komuniti setempat, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan sempena sambutan Aidiladha.
#BeritaAAC #UMNOBatu #Aidiladha2026 #KorbanParlimenBatu #GulamMuszaffar