
AMPANG – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang menghantar isyarat jelas kepada pucuk pimpinan parti bahawa mereka kini berada dalam kesiapsiagaan tertinggi untuk menembus dan mengembalikan semula dominasi Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan pada bila-bila masa sahaja.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Datuk Hasry Sham Chasemen menegaskan, persiapan rapi telah pun diatur termasuk pelaburan besar melibatkan puluhan ribu ringgit bagi mengaktifkan bilik gerakan utama (war room) pemuda di bahagian itu.
Menurutnya, politik alaf baharu bukan lagi sekadar retorik atau laungan kosong ketika musim pilihan raya, sebaliknya ia adalah tentang kehadiran, khidmat bakti yang konsisten, serta kesetiaan bersama masyarakat ketika susah dan senang.
”Kita tidak mahu menjadi pemimpin yang hanya muncul ketika musim pilihan raya. Kita mahu rakyat menilai bahawa Pemuda UMNO Ampang sentiasa ada bersama mereka sepanjang masa melalui pelbagai inisiatif kebajikan, sukan, pendidikan, dan pemerkasaan usahawan muda.
”Bukan sekadar di Muar sahaja yang ada war room, di Ampang kita juga sudah buka di belakang pentas ini. Berpuluh ribu ringgit dana dikeluarkan demi memastikan persiapan jentera kita berada di tahap paling optimum,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam satu perhimpunan pemuda, baru-baru ini.
Beliau yang juga merupakan Pengarah Penaziran Pemuda UMNO Malaysia menyatakan, struktur jentera di peringkat akar umbi telah pun disusun kemas menerusi pelantikan rasmi Ketua-Ketua Pemuda Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh parlimen tersebut.
Politik TikTok Dan Realiti Anak Muda
Mengulas mengenai dinamika politik semasa yang semakin mencabar, Hasry Sham yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengingatkan seluruh saf kepimpinan bahawa landskap pemikiran pengundi muda kini sudah jauh berubah.
Katanya, media sosial seperti TikTok kini bukan sahaja menjadi medium maklumat tetapi telah bertukar menjadi platform ‘hiburan politik’ di mana netizen sentiasa menilai dan mengkritik setiap gerak-geri parti.
”Persoalan besar yang perlu dijawab oleh keluarga UMNO Ampang hari ini ialah; adakah anak muda melihat politik sebagai sesuatu yang memberi harapan, atau mereka melihatnya sebagai medan merebut jawatan? Adakah mereka rasa pemimpin hadir membantu, atau hanya datang ketika mahu diuji?
”Sebab itu Pemuda UMNO Ampang perlu tampil sebagai wajah baharu politik yang lebih matang, lebih dekat dengan rakyat, dan lebih memahami realiti. Kita perlu turun mendengar, bukan hanya pandai bercakap,” tegasnya lagi.
Sedia Ketengah Calon Pelapis Berintegriti
Bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti, Hasry Sham mendedahkan bahawa pihak Pemuda Ampang telah mula merangka dasar strategik dan menyenaraikan beberapa nama berpotensi daripada ‘kilang pemuda’ untuk diketengahkan sebagai calon Barisan Nasional di tiga kerusi dalam Parlimen Ampang sekiranya diberi mandat kelak.
Antara nama-nama yang disebut sebagai pelapis potensinya termasuk barisan jawatankuasa utama seperti Naib Ketua Pemuda, Setiausaha, Ketua Penerangan, serta barisan kepimpinan PDM dan PSM yang terbukti konsisten berkhidmat di lapangan.
Beliau turut meminta Ketua UMNO Bahagian Ampang untuk melihat dan memberi ruang serta peluang kepada barisan pelapis yang dibina ini berdasarkan merit dan komitmen kerja nyata mereka.
”Pemimpin masa depan tidak hanya diukur pada faktor usia muda semata-mata, tetapi wajib diukur pada integriti, ilmu, kesanggupan turun padang, serta kekuatan hubungan dengan masyarakat.
”Inilah pelapis yang kita mahu bina—bukan pelapis yang hanya hebat bercakap di media sosial, tetapi pelapis yang sanggup bekerja, sanggup berkorban, dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat bawah,” katanya memutuskan bicara.
#PemudaUMNOAmpang #HasrySham #PolitikAnakMuda #KembalikanDominasi #BeritaAAC