
KUALA LUMPUR– Suasana politik di Johor dilaporkan semakin hangat dengan spekulasi bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal berlangsung dalam masa terdekat, susulan tularnya dokumen mengenai tarikh persidangan akhir Dewan Undangan Negeri (DUN) di media sosial.
Mengulas mengenai pengumuman Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi bahawa Barisan Nasional (BN) akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN, Penganalisis Politik, Dr. Norman Sapar menyifatkan langkah tersebut sebagai satu persediaan awal yang matang dan bukannya petanda ‘tamak kuasa’.
”Sebenarnya nak bertanding dan membentuk kerajaan ini memerlukan parti. Persediaan UMNO dan BN untuk bertanding di semua 56 kawasan pasti bersebab. Sebelum ini BN sibuk bekerja sahaja di Johor,” katanya ketika ditemu bual.
Tempelak Sikap Pakatan Harapan (PH)
Dr. Norman turut mempersoalkan reaksi beberapa parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti PKR dan Amanah yang kelihatan tidak senang dengan pengumuman tersebut, sedangkan mereka sebelum ini secara terbuka menyatakan hasrat menuntut sehingga 40 kerusi termasuk di kawasan yang kini diwakili ADUN BN.
”Kenapa pula bila Dato’ Onn Hafiz nyatakan kita UMNO BN dah bersedia untuk bertanding kat 56 kawasan, kenapa mereka nak menggeletas? Sedangkan semasa mereka nak bertanding 40 kerusi, kita (BN) tak ada lah nak bangkang sangat.”
Beliau menambah, situasi ini merupakan peluang terbaik dalam sistem demokrasi untuk PH membuktikan keupayaan mereka tanpa perlu bergantung kepada perkongsian kuasa.
”Kalau katakan PH rasa mereka bagus, boleh tadbir negeri, tak payah nak kongsi kuasa. Bertanding dekat semua 56 kawasan, lawan dengan Barisan Nasional dan biar rakyat pilih,” tegas beliau.
Formula Onn Hafiz: Cari Pelaburan, Pulangkan Kepada Rakyat
Dalam pada itu, Dr. Norman memuji kepimpinan Onn Hafiz yang disifatkannya sebagai seorang Menteri Besar yang bekerja keras demi kebajikan rakyat sejak awal memegang jawatan, menerusi program berimpak tinggi seperti ‘Semarak Subuh’.
Jelasnya, kerajaan negeri mempunyai formula ekonomi yang jelas iaitu menarik pelabur asing dan memulangkan hasil pulangan tersebut terus kepada rakyat dalam bentuk bantuan.
Bantuan Kasih Johor: Membawa 22 inisiatif kebajikan.
Golongan Sasar: Memberi manfaat kepada lebih 600,000 daripada 4 juta rakyat Johor.
Sokongan Rentas Parti: Inisiatif ini turut mendapat pujian daripada ADUN ‘Pengimbang’ (pembangkang) di Johor.
Kematangan Politik Tahap Baharu
Walaupun mengakui wujud perbezaan dinamika kerjasama politik di peringkat Persekutuan dan Negeri, Dr. Norman melihat situasi di Johor membuktikan landskap politik Malaysia kini sudah mencapai tahap yang matang.
Memandangkan tempoh mandat DUN Johor berbaki kurang daripada setahun, perancangan masa depan kerajaan negeri harus dibina dari sekarang dan bukannya menunggu di saat-saat akhir. Beliau menyeru semua pihak agar berhenti mempertikaikan strategi kerusi tersebut dan menyerahkan keputusan mutlak kepada pengundi.
”Kita serahkan saja mandat itu kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak memimpin Johor pada penggal akan datang,” katanya mengakhiri bicara.
#PRNJohor #OnnHafiz #PolitikMalaysia #BeritaPanas #SuaraRakyat