
KUALA LUMPUR — Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijangka berdepan kesukaran untuk dibubarkan lebih awal, melainkan ia terbubar secara automatik selepas genap tempoh sepenggal atau mandat lima tahun berakhir.
Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Muszaffar mendedahkan, situasi ini berpunca daripada keabsahan persidangan DUN sebelum ini yang menimbulkan pertikaian dari sudut perlembagaan negeri.
Menurut beliau, persidangan berkenaan tidak dapat disahihkan susulan ketidakhadiran Undang Yang Empat, selain ketiadaan sebarang pembentangan rang undang-undang (RUU) atau urusan rasmi kerajaan negeri sepanjang sidang berlangsung.
“Keadaan itu menimbulkan pertikaian sama ada sidang berkenaan boleh dianggap sebagai persidangan DUN yang sah dari sudut perlembagaan negeri. Yang berlaku hanyalah istiadat pembukaan dan penangguhan sidang semata-mata tanpa ada pembentangan usul mahupun RUU kerajaan. Persoalan sama ada ia memenuhi syarat persidangan DUN masih belum diputuskan secara jelas,” katanya ketika dihubungi media.
Mengulas lanjut, Gulam Muszaffar turut membangkitkan status kedudukan politik pentadbiran Negeri Sembilan yang didakwa telah kehilangan majoriti mudah. Perkara ini berlaku selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO bertindak menarik balik sokongan mereka terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Tegas beliau, sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini menuntut sesebuah kerajaan berpaksikan kepada sokongan majoriti yang kukuh di peringkat DUN.
“Tidak pernah ada dalam sejarah amalan perlembagaan, sesebuah kerajaan boleh memerintah dalam keadaan minoriti secara berterusan. Kerajaan amat memerlukan mandat majoriti bagi meluluskan sebarang dasar dan membuat keputusan rasmi,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai kelangsungan hubungan politik antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH), beliau menegaskan bahawa tiada sebarang jaminan kerjasama politik tersebut akan diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, khususnya membabitkan Negeri Sembilan dan Melaka.
Jelasnya, formula kerjasama yang dibentuk antara Barisan Nasional (BN) dan PH pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu adalah bersifat ‘keperluan semasa’ bagi membentuk kerajaan persekutuan dan tidak mengikat kedua-dua parti secara automatik untuk pilihan raya akan datang.
“Persefahaman tersebut bertujuan menstabilkan negara ketika itu. Namun, setiap pilihan raya mempunyai dinamik politik yang berbeza dan strategi parti perlu dinilai semula mengikut realiti dan keadaan semasa. Keputusan BN bertanding secara solo di Johor sebelum ini boleh dijadikan rujukan asas kepada hala tuju parti,” katanya.
Beliau menambahkan, UMNO kini perlu kembali fokus memperkasakan identiti dan kekuatan struktur perjuangannya sendiri, terutamanya dalam mempertahankan agenda orang Melayu, syiar Islam, serta kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.
Melihat kepada landskap politik nasional, Gulam Muszaffar turut berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berdepan cabaran getir dalam memenangi kepercayaan dan sokongan pengundi Melayu secara akar umbi, walaupun sedang menerajui Kerajaan Persekutuan.
Beliau meramalkan pilihan raya akan datang akan menjadi medan yang sangat kompetitif tanpa kemenangan mutlak oleh mana-mana parti, memandangkan undi dijangka berpecah kepada beberapa blok utama, dibantu oleh lonjakan kumpulan pengundi atas pagar serta potensi berlakunya ‘undi protes’.
#PolitikNegeriSembilan #UMNOTarikSokongan #KerjasamaPHBN #SidangDUNSahKe #PortalMediaAAC