
JOHOR BAHRU – Isu pemilikan aset dan setinggan terus menjadi agenda utama perjuangan Barisan Nasional (BN) dalam usaha memastikan kebajikan serta masa depan rakyat Johor sentiasa terbela.
Perkara itu ditegaskan oleh Calon DUN N44 Larkin, Hairi Mohd Shah, dalam satu sesi temubual eksklusif bersama Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan.
Menurut Hairi, impian utamanya adalah untuk melihat seluruh rakyat Johor, tanpa mengira kaum dan agama, mempunyai aset sendiri. Beliau turut mengambil inspirasi daripada pendekatan tokoh politik Johor, Tan Sri Shahrir Samad, yang sebelum ini komited memperjuangkan nasib golongan setinggan di kawasan Johor Bahru, khususnya melalui pelan pembangunan ‘Malay Belt’ yang merangkumi kawasan Kampung Bakar Batu sehingga Bandar Baru Uda.
”Rata-rata mereka yang mendiami kawasan setinggan ini adalah orang Melayu kita. Apabila Tan Sri Shahrir menetapkan jajaran tersebut, ia adalah untuk memastikan tanah-tanah ini memberi peluang dan ruang kepada golongan setinggan untuk memiliki aset sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai usaha pemindahan setinggan seperti yang dilaksanakan di Kampung Setulang Baru dan Kampung Melayu Majidee, Hairi menjelaskan bahawa pendekatan yang diambil sentiasa mengutamakan keselesaan rakyat. Penduduk dipindahkan ke kediaman rumah mampu milik yang lebih selesa dengan kemudahan tiga bilik tidur, dua bilik air, dan ruang tamu berkeluasan 750 kaki persegi.
Kini, legasi pembelaan itu diteruskan oleh Hairi melibatkan kawasan penempatan seperti Kampung Sri Paya, Kampung Aman, dan Kampung Sri Kenangan. Beliau menegaskan bahawa BN sentiasa memastikan pemilik setinggan dipindahkan ke kawasan perbandaran dan memiliki aset sendiri.
”Kerajaan Barisan Nasional berfikiran jauh. Kita tidak menzalimi rakyat seperti yang didakwa sesetengah pihak. Sebaliknya, pembelaan sebegini membuktikan bahawa BN mengutamakan kualiti dalam kepimpinan, bukannya sekadar kuantiti,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, temubual tersebut turut menyentuh tentang perancangan masa depan negeri melalui agenda ‘Johor 2030’ yang digagaskan oleh Menteri Besar Johor. Hairi mengingatkan bahawa menjelang tahun 2030, Johor bukan sahaja perlu maju dari segi pembangunan fizikal, tetapi juga dari sudut disiplin, mentaliti, dan sistem pendidikan.
Sesi temubual diakhiri dengan peringatan bahawa Johor mempunyai landskap politiknya yang tersendiri. Kempen pilihan raya di negeri ini sentiasa dilaksanakan secara berhemah, bermoral, dan beradab demi mengekalkan keharmonian bangsa Johor.
#BeritaAAC #PRNJohor #LarkinPilihHairi #BangsaJohor #MajuJohor2030
