
BENUT , 3 Julai 2026 – Rakyat kini sudah bijak menilai dan tidak lagi terpikat dengan janji-janji manis parti politik yang sekadar ‘menaiktaraf’ angka dalam manifesto pilihan raya mereka.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Dr. Akmal Saleh menegaskan bahawa apa yang dituntut oleh rakyat pada masa kini adalah bukti pelaksanaan, bukannya tawaran di atas kertas yang belum tentu dapat direalisasikan.
Menurut beliau, terdapat perbezaan ketara antara manifesto yang dibawakan oleh Barisan Nasional (BN) dan parti lawan, di mana pihak lawan dilihat sering mengitar semula janji tanpa ada rekod prestasi yang meyakinkan.
”Rakyat tidak mahu melihat nombor semata-mata. Sebagai contoh, jika Barisan Nasional menawarkan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti, mereka (pihak lawan) akan ‘upgrade’ menjadi 250,000. Tetapi ini bukan soal nombor. Rakyat mahu melihat bukti, boleh buat atau tidak? Yang kedua, rakyat nak tengok sama ada janji itu mampu dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kegagalan Pakatan Harapan (PH) dalam menunaikan janji-janji terdahulu, termasuk isu pemansuhan tol di Lebuhraya Simpang Renggam yang sehingga kini masih berbanyar. Beliau secara sinis menyatakan sekiranya PH benar-benar mahu menang di Johor, Perdana Menteri hanya perlu mengumumkan pemansuhan tol di seluruh Malaysia.
Dalam pada itu, Dr. Akmal turut mempertahankan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang kini menjadi sasaran kecaman dan asakan daripada pihak lawan.
Tegas beliau, walaupun Onn Hafiz diserang dari pelbagai sudut, rekod pencapaian prestasi (KPI) pentadbiran beliau di Johor menjadi bukti nyata bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang bekerja demi rakyat.
”Saya tidak menafikan Datuk Onn Hafiz adalah ‘tunggak’ kita di Johor ini. Sudah tentu beliau akan diserang dari segenap aspek—kiri, kanan, atas dan bawah. Tetapi hari ini rakyat Johor bijak dan tahu siapa pemimpin yang benar-benar bekerja.
”Datuk Onn Hafiz bercakap bukan sekadar janji, tetapi beliau membawa bukti. Di bawah pentadbiran beliau, Johor berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM110 bilion, iaitu yang tertinggi di dalam negara. Malah, peratusan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor turut meningkat sebanyak 8 peratus, juga antara yang tertinggi,” jelasnya lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru pengundi di Johor untuk terus mengekalkan kepimpinan yang terbukti berprestasi demi kestabilan masa depan negeri berkenaan.
#PRNJohor #AkmalSalleh #MajuJohor #ManifestoBukanJanji #BeritaAAC
